AM

BARANGAN BUATAN MALAYSIA TEMBUSI PASARAN GLOBAL, JANA EKONOMI NEGARA - FUZIAH

19/12/2024 07:11 PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Barangan buatan Malaysia mampu menembusi pasaran luar negara susulan pemasaran luas di peringkat global selain kejayaan kempen beli barangan tempatan, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh.

Beliau berkata menjadi hasrat kerajaan untuk melihat lebih banyak barangan buatan Malaysia menembusi pasaran antarabangsa kerana ia menjana pulangan yang lumayan kepada pengusaha sekali gus meningkatkan ekonomi negara.

“Berdasarkan pencapaian pelaksanaan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) melalui Inisiatif Pemerkasaan Produk Tempatan dalam Industri Peruncitan Tempatan oleh rakan strategik kementerian pada 2023, nilai jualan yang dicatatkan adalah berjumlah RM5.51 bilion. 

“Prestasi ini juga menunjukkan peningkatan sebanyak 103.2 peratus berbanding 2022 dan nilai jualan ini dijangka terus meningkat pada 2024,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Kempen Beli Barangan Malaysia ‘Bangga Buatan Lokal 2024’ anjuran Mydin Mohamed Holding Berhad (Mydin), di Subang Jaya, dekat sini hari ini.

Fuziah berkata pelbagai aktiviti jualan dan pameran oleh 12 usahawan terpilih dalam kategori makanan dan aksesori diketengahkan pada program Bangga Buatan Lokal 2024 itu yang diadakan mulai hari ini hingga Sabtu ini.

Program berkenaan, katanya merupakan manifestasi kerjasama antara kementeriannya dan Mydin sebagai rakan strategik bagi Inisiatif Pemerkasaan Produk Tempatan untuk mempromosikan kempen di premis strategik dalam meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia tentang produk lokal.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan