JERTIH, 19 Dis (Bernama) -- Jenazah Tokoh Kraf Negara Norhaiza Noordin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja di sini pada 5.15 petang tadi.
Jenazah beliau sebelum itu dibawa ke Masjid Nasirudin Shah Kampung Raja di sini untuk disolatkan.
Anak sulung Allahyarham, Mohammad Othman, 23, berkata ayahnya dikenali sebagai seorang yang amat mencintai bidang ukiran kayu dengan falsafah dan motif tersendiri.
"Ayah orangnya lembut tetapi serius khususnya membabitkan seni ukir. Allah lebih menyayanginya,” katanya kepada Bernama selepas urusan pengebumian.
Norhaiza, yang menghembuskan nafas terakhir pada 6.13 pagi pada usia 61 tahun kerana masalah jantung di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan, meninggalkan seorang isteri, Che Rohayati Abdullah, 49 dan dua anak iaitu Mohammad Othman dan Rabiatul Adawiah, 21.
Anak jati Besut itu, yang dinobat sebagai Tokoh Kraf Negara pada 2022, telah mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.
Adiguru Kraf Ukiran Halus itu juga adalah Yang Dipertua Persatuan Penggiat Seni Ukir Malaysia (Pengukir).
-- BERNAMA