KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan penghargaan kepada petugas kebudayaan atas curah bakti yang diberikan dalam menjayakan pelbagai program rasmi negara.
Menerusi hantaran di laman Facebook, beliau berkata dalam kesibukan mengurus hal ehwal kenegaraan, komitmen dan kegigihan ditonjolkan penjawat awam serta staf dukungan termasuk penari kebudayaan, pemuzik dan penyanyi sering kali terlepas pandang.
“Semasa menunggu ketibaan Presiden Turkmenistan Serdar Berdimuhamedow ke Kompleks Seri Perdana untuk sesi makan tengah hari, saya meluangkan masa berbual dengan penari-penari kebudayaan yang dilatih dan dibawa khas dari Istana Budaya.
“Menurut mereka, untuk setiap sesi lawatan rasmi kenegaraan, tempoh seminggu akan diperuntukkan untuk berlatih mengikut tema kebudayaan yang ditetapkan,” katanya.
Justeru, Perdana Menteri mengucapkan terima kasih atas jasa yang diberikan dan berharap mereka akan terus berkarya serta mengangkat martabat seni dan budaya negara.
-- BERNAMA