AM

TENGKU PERMAISURI SELANGOR MAHU MEDIA TINGKAT KESEDARAN TANGGUNGJAWAB JAGA KEBAJIKAN HAIWAN

19/12/2024 09:17 PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menitahkan media agar terus mempergiat kempen melalui platform media sosial, televisyen, radio dan akhbar bagi mendidik rakyat tentang kepentingan menjaga kebajikan, menangani isu pengabaian serta penderaan haiwan. 

Tengku Permaisuri Selangor bertitah ia antara lima langkah yang disyorkan baginda dalam usaha menjaga kebajikan haiwan yang disifatkan merupakan tanggungjawab setiap individu tidak kira bangsa, umur atau agama dan perlu diberi sokongan oleh semua pihak.

Baginda bertitah hal ini kerana setiap nyawa itu bernilai dan kebajikan haiwan mencerminkan kematangan serta keprihatinan sesebuah masyarakat.

“Selain itu, sumbangan kerajaan dalam menyalurkan dana khusus kepada kebajikan haiwan juga amat penting sebagaimana dilakukan di Turkiye, di bandar-bandar besar Istanbul dan Ankara dan negara Barat yang lain, dengan isu kebajikan haiwan ini hangat diperdebatkan di dalam Parlimen,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Perbincangan Meja Bulat berkenaan kesedaran, pengurusan dan kemampanan haiwan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan Masjid-Masjid di bawah Wilayah Persekutuan dan Putrajaya yang berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.

Selain itu, Tengku Permaisuri Norashikin bertitah kerjasama antara majlis perbandaran dan komuniti juga perlu diperkukuh dengan masyarakat boleh menjadi ‘mata’ dan ‘telinga’ untuk melaporkan kes pengabaian atau penganiayaan haiwan selain memainkan peranan dalam aktiviti sukarelawan, seperti program ‘trap-neuter-release’ bagi kucing dan anjing terbiar. 

“Bagi cadangan keempat, saya menyeru agar Kementerian Pendidikan mewajibkan penubuhan kelab atau persatuan pencinta haiwan di setiap sekolah dan IPT. Melalui kelab ini, pelajar dan mahasiswa dapat mempelajari asas penjagaan haiwan dan meningkatkan empati serta kasih sayang terhadap haiwan sejak dari usia muda. 

“Cadangan kelima pula, saya meminta syarikat swasta yang berkemampuan perlu memainkan peranan untuk menyertai program kebajikan haiwan melalui program tanggungjawab sosial korporat dengan menyalurkan dana serta menyediakan bantuan kepada pusat perlindungan haiwan,” titah baginda.

Terdahulu, baginda turut berkenan melancarkan buku biografi bertajuk Tails of Triumph yang merupakan himpunan kisah benar haiwan yang berjaya diselamatkan di UIAM.

 -- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan