AM

PENCARIAN MH370 AKAN DITERUSKAN - LOKE

20/12/2024 05:18 PM

PUTRAJAYA, 20 Dis (Bernama) -- Jemaah Menteri pada 13 Dis lepas secara prinsip menerima tawaran syarikat robotik marin Ocean Infinity untuk meneruskan operasi pencarian bangkai pesawat MH370, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata operasi pencarian dasar laut tersebut akan tertumpu di satu lokasi baharu yang dianggarkan berkeluasan 15,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi.

"Lokasi kawasan pencarian baharu yang dicadangkan Ocean Infinity adalah berdasarkan kepada maklumat serta analisis data terkini yang dibuat pakar dan penyelidik.

"Cadangan ini kukuh dan wajar diteliti oleh kerajaan Malaysia selaku negara pendaftaran pesawat MH370," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Loke berkata operasi pencarian itu akan dilaksanakan oleh Ocean Infinity berdasarkan prinsip 'no find, no fee', yang bermaksud kerajaan tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran sekiranya bangkai pesawat tersebut tidak ditemukan. 

Beliau berkata Kementerian Pengangkutan kini sedang memuktamadkan terma dan syarat perjanjian dengan syarikat berpangkalan di United Kingdom itu dan proses tersebut dijangka selesai pada awal tahun depan.

Mengulas lanjut, beliau berkata Kementerian Pengangkutan (MOT) dimaklumkan bahawa masa yang sesuai untuk melaksanakan kerja pencarian di kawasan itu adalah antara Januari hingga April, justeru memerlukan perjanjian dengan Ocean Infinity disegerakan.

"Keputusan prinsip ini adalah manifestasi komitmen kerajaan dalam memastikan operasi pencarian diteruskan dan memberikan penutup bagi keluarga waris penumpang pesawat MH370," katanya.

Pesawat milik Malaysia Airlines bagi penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang itu hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China pada 8 Mac 2014.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan