EKONOMI

LANGKAH-LANGKAH INTERIM TANGANI KESAN PELARASAN PREMIUM AKAN DIPANTAU UNTUK JAMIN KEBERKESANAN

20/12/2024 08:33 PM

KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Pelaksanaan langkah-langkah interim bagi menangani kesan pelarasan premium produk insurans/takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) akan dipantau secara berterusan bagi menjamin keberkesanannya.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata dalam masa yang sama pembaharuan jangka panjang akan dipercepatkan untuk menangani inflasi kos perubatan secara menyeluruh, memastikan produk MHIT kekal mampan dan memenuhi keperluan rakyat.

Menurutnya, langkah-langkah interim tersebut mencerminkan usaha kolektif kerajaan, industri insurans/takaful, dan sektor penjagaan kesihatan untuk memastikan pemegang polisi MHIT terus mendapat perlindungan yang mampan dan mampu milik.

“Saya menyeru semua pihak untuk terus memberikan sokongan dan kerjasama dalam usaha mengawal inflasi kos perubatan serta memastikan kesihatan rakyat Malaysia menjadi keutamaan bersama,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Antara langkah-langkah utama yang diumumkan adalah kenaikan premium akibat inflasi tuntutan perubatan dari tahun 2024 hingga 2026 akan diagihkan dalam tempoh tiga tahun dan ini akan membantu sekitar 80 peratus pemegang polisi. 

Selain itu, pemegang polisi berusia 60 tahun ke atas yang melanggani pelan minimum akan menikmati penangguhan kenaikan premium selama setahun.

Sebagai langkah tambahan, Lim berkata kerajaan bersama-sama dengan industri insurans/takaful (ITO) dan hospital swasta akan menyediakan sumbangan sebanyak RM60 juta dan akan digunakan termasuk bagi pelaksanaan model pembayaran Diagnosis-Related Group untuk meningkatkan kecekapan kos penjagaan kesihatan.

“Saya yakin bahawa langkah-langkah interim ini, termasuk penangguhan pelarasan premium bagi warga emas, pengenalan produk alternatif yang lebih mampu milik, dan pengagihan pelarasan premium, akan memberikan kelegaan kepada rakyat sementara penyelesaian jangka panjang dirangka,” katanya. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan