AM

DAFTAR PEMILIH TAMBAHAN NOVEMBER 2024 DIBUKA UNTUK SEMAKAN - SPR

20/12/2024 10:28 PM

KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Semakan Daftar Pemilih Tambahan Bulan November Tahun 2024 (DPT BLN11/2024) boleh dibuat untuk tempoh 30 hari bermula hari ini hingga 18 Jan 2025, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak.

Beliau berkata DPT BLN11/2024 yang diperaku dan diwartakan hari ini mengandungi 39,546 nama warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Nov 2024 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.

“Selain itu, ia mengandungi 10,388 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 1,804 pemilih bertukar status atau kategori pengundi,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Ikmalrudin berkata SPR menyediakan lima kaedah semakan iaitu melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my, portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my.

Kaedah lain termasuk aplikasi mudah alih MySPR Semak dan talian Semakan Pendaftaran Pemilih di talian 03-8892 7218.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan