KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Malaysia mendukung penuh ucapan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto yang disampaikan pada Sidang Kemuncak Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) di Kaherah, Mesir pada Khamis.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Prabowo yang mengangkat sumpah sebagai presiden republik itu pada 20 Oktober lepas telah menyampaikan realiti sebenar mengenai hak kenegaraan Palestin.
"Presiden Prabowo telah menyampaikan kebenaran yang pahit namun penting untuk didepani dengan baik dan bijaksana terutamanya berkaitan hak kenegaraan Palestin yang merdeka dan berdaulat.
"Justeru, Malaysia dengan tuntas dan tegas mendukung kepengerusian Bapak untuk D-8 pada tahun 2026," katanya menerusi satu hantaran di platform media sosial pada Jumaat.
Dalam masa sama, Anwar turut berkongsi sebuah klip video berdurasi empat minit 17 saat mengandungi ucapan Prabowo dalam Sidang Kemuncak D-8 yang melabuhkan tirai pada Khamis.
Dalam masa sama, Anwar berkata, beliau bersedia menjalin kerjasama erat dengan Indonesia bagi memastikan D-8 menjadi organisasi yang lebih dinamik dan terangkum.
"Sebagai negara serumpun, Malaysia akan bersama dalam lipatan sejarah ini bagi mengangkat suara rakyat negara-negara membangun," katanya.
D-8 yang ditubuhkan di Istanbul, Turki pada 15 Jun 1997 merupakan sebuah kumpulan negara Islam membangun yang membentuk satu pakatan pembangunan ekonomi yang terdiri daripada Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turki.
Dalam ucapan pada sesi pembukaan Sidang Kemuncak D-8 ke-11 di Kaherah pada Khamis, Prabowo Subianto menegaskan realiti bahawa negara-negara Islam tidak diberi penghormatan sewajarnya.
Beliau berkata, negara-negara Islam dengan populasi 2 bilion orang mesti berusaha untuk menjalin kerjasama erat sesama sendiri, bersuara dengan satu suara, dan mengelak daripada berpecah-belah.
Prabowo turut menyorot konflik dalam kalangan pemimpin Muslim di Sudan, Libya, dan Yaman sambil mempersoalkan, “Bilakah ini akan berakhir?” Beliau menambah, “Pecah dan perintah telah menjadi undang-undang imperialisme selama ribuan tahun, dan kita dipecah-pecahkan setiap hari.”
“Bagaimana kita boleh membantu rakyat Palestin jika kita bertelingkah sesama sendiri?
“Saya menghadiri begitu banyak sidang kemuncak, dan apa yang kita lakukan hanyalah mengeluarkan deklarasi sokongan,” katanya lagi.
Dalam ucapannya, Prabowo menekankan keperluan untuk perpaduan dan kerjasama, sambil menyatakan:“Indonesia akan melakukan yang terbaik dengan apa sahaja cara yang kami mampu, tetapi saya menyeru perpaduan dan kerjasama.”
“Marilah kita, sebagai negara-negara Islam, sedar bahawa kita tidak dihormati. Mereka tidak peduli dengan suara kita… hak asasi manusia bukan untuk orang Islam.
Ini adalah realiti. Ini sangat menyedihkan, tetapi marilah kita lakukan apa yang kita mampu. Mari kita berdepan realiti dan jujur dengan diri kita sendiri,” katanya.
--BERNAMA