JENAYAH & MAHKAMAH

MURID MAUT TERKENA RENJATAN ELEKTRIK: SESI PEMBELAJARAN DIHENTIKAN SERTA-MERTA

21/12/2024 03:23 PM

SHAH ALAM, 21 Dis (Bernama) -- Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengarahkan sesi pengajaran dan pembelajaran di sebuah sekolah agama di Serdang dekat sini dihentikan serta-merta susulan insiden seorang murid maut dipercayai terkena renjatan elektrik. 

Pengarahnya Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata arahan dikeluarkan pada 19 Dis itu adalah bagi mengelak kejadian serupa berulang dan membolehkan siasatan dijalankan.  

Beliau berkata pihaknya sedang menunggu laporan siasatan daripada Suruhanjaya Tenaga Negeri Selangor berhubung keselamatan bangunan berkenaan selain akan meminta laporan agensi teknikal lain yang berkaitan serta polis untuk tindakan lanjut. 

Satu laporan khas juga akan dikemukakan kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Kerajaan Negeri Selangor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dalam masa terdekat.  

“Untuk makluman, sekolah itu didaftarkan di bawah Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988 (Pindaan) 2001 yang ditadbir Lembaga Pengurusan Sekolah.

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membantu guru agama dan fardu ain melalui skim guru KAFA JAKIM manakala Kerajaan Negeri membantu dalam pemberian buku teks percuma melalui Skim Pinjaman Buku Teks,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

JAIS bersama agensi seperti Suruhanjaya Tenaga Negeri Selangor, Tenaga Nasional Berhad (TNB) Selangor, Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, polis, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan pihak sekolah telah meninjau ke lokasi kejadian pada 19 Dis. 

Mohd Shahzihan berkata JAIS dan kerajaan negeri mempunyai tanggungjawab untuk memastikan pengajaran dan pembelajaran dilakukan mengikut kurikulum yang ditetapkan serta keselamatan dan keselesaaan premis sekolah bagi pelajar serta guru.

“Bangunan yang dibina atau disewa bagi tujuan ini tertakluk kepada peraturan ditetapkan pihak berkuasa tempatan,” katanya. 

Justeru, beliau mengucapkan takziah kepada waris mangsa dan berharap semua pihak Lembaga Pengurusan Sekolah KAFA atau sekolah agama swasta di Selangor sentiasa memantau perkara melibatkan keselamatan guru dan pelajar serta mengambil tindakan segera. 

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Serdang ACP A. A. Anbalagan dilaporkan berkata menerima laporan berhubung kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun disyaki terkena renjatan elektrik di sebuah sekolah di Serdang dekat sini. 

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan