BERITA TERGEMPAR | PM Anwar expresses condolences to the family of Egyptian Islamic movement activist Youssef Nada who passed away today | |
KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan MADANI telah melaksanakan pelbagai perencanaan strategik untuk melonjakkan ekonomi negara sepanjang 2024 bagi melimpahkan kemakmuran yang berpanjangan kepada rakyat dan negara.
Menerusi "Sorotan 2024: Melonjak Ekonomi, Melimpah Kemakmuran” yang dipaparkan dalam hantaran di laman Facebook beliau hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkongsi beberapa inisiatif dan pencapaian negara.
Antara pencapaian itu adalah pelaburan ekonomi digital yang menyaksikan pelaburan digital diluluskan bernilai RM254.7 bilion bagi tempoh Januari hingga September 2024, yang mewujudkan 159,000 pekerjaan.
Syarikat teknologi gergasi yang melabur di Malaysia termasuk Microsoft (RM10.5 bilion), NVIDIA dan YTL (RM20 bilion), Oracle (RM27 bilion), AWS (RM21.3 bilion) dan Google (RM9.4 bilion).
Pelaburan ini dijangka memacu pertumbuhan ekonomi berasaskan teknologi dan menjadikan Malaysia sebagai hab digital Asia Tenggara.
Pelaburan Infineon di Kedah pula berjumlah RM30.1 bilion untuk membina loji fabrikasi kuasa silikon karbida terbesar di dunia, yang menghasilkan 4,000 peluang pekerjaan.
Selain itu, langkah ini mengukuhkan industri semikonduktor Malaysia, menarik pelabur global dan meningkatkan eksport.
Menurut hantaran itu, kerajaan turut memfokuskan kepada pembangunan tenaga hijau menerusi pelancaran Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di Perak.
Ladang solar berkeluasan 267.09 hektar itu akan dibangunkan melalui kerjasama strategik antara SD Guthrie dan Permodalan Nasional Bhd.
Bagi menggalakkan keterangkuman dan keseimbangan sosioekonomi, Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera (PuTERA35) diperkenalkan dengan memberi tumpuan kepada peningkatan penyertaan ekonomi bumiputera melalui inisiatif yang disasarkan dan meningkatkan keadilan sosioekonomi.
Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) 2030 pula menyasarkan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM82 bilion menjelang 2030 dengan jangkaan 900,000 pekerjaan baharu melalui pelbagai projek kerjasama awam-swasta (PPP).
Menurut sorotan itu, langkah ini memacu pertumbuhan ekonomi melalui penglibatan sektor swasta dan merupakan rangka terbaik untuk memperkukuh tatakelola.
Sementara itu, enam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) melabur RM120 bilion di bawah program pelaburan GLIC (GEAR-uP) bagi meningkatkan sektor pembuatan berteknologi tinggi dan tenaga mampan serta memacu daya tahan ekonomi jangka panjang.
Turut dikongsikan adalah kemajuan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), antaranya pertumbuhan KDNK sebanyak 4.7 peratus (RM4.2 bilion) pada suku kedua 2024, peningkatan pekerjaan 0.9 peratus atau 200,000 pekerjaan dan pelaburan sektor semikonduktor sebanyak RM34.6 bilion.
"Kerajaan akan terus bekerja keras di tahun-tahun mendatang untuk memacu masa depan kita yang lebih sejahtera, insya-Allah," kata Anwar.
-- BERNAMA