BERITA TERGEMPAR | PM Anwar expresses condolences to the family of Egyptian Islamic movement activist Youssef Nada who passed away today | |
GUA MUSANG, 22 Dis (Bernama) --Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) mengenal pasti sekurang-kurangnya empat lubang benam di sekitar laluan FT185, Seksyen 78.60, Jalan Lojing-Gua Musang berhampiran Kampung Jekjok, Pos Brooke, yang berlaku pada 14 Dis lepas.
Pengerusi PKOB Gua Musang Nik Raisnan Daud berkata kerja-kerja baik pulih laluan tersebut berkait rapat dengan faktor teknikal, justeru, penyelesaian isu berkenaan bergantung kepada kepakaran Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menjalankan kajian terperinci.
"Lubang benam ini berkemungkinan disebabkan oleh pergerakan air di bawah tanah, namun perkara tersebut masih dalam kajian oleh pihak JKR.
"Kejadian ini dipercayai berlaku akibat hujan lebat yang berpanjangan, yang mungkin telah membentuk lopak air dan seterusnya mewujudkan gua di bawah tanah," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Banjir di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang, hari ini.
Beliau turut menjelaskan lubang benam tersebut mungkin berpunca daripada keadaan tanah di bawah permukaan yang semakin teruk ketika musim hujan.
Katanya laluan tersebut masih ditutup kepada semua kenderaan dan pihaknya menyerahkan perkara itu kepada pakar dalam bidang kejuruteraan kerana kejadian tersebut melibatkan struktur tanah.
“Kita tunggu keputusan JKR berhubung tindakan segera untuk mengatasi masalah berkenaan,” katanya.
-- BERNAMA