KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) milik Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mengumumkan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) di antara Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd dengan Asia CEO Community.
MITEC dalam kenyataan hari ini berkata MoU itu yang dimeterai pada 18 Disember ketika Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024 bertemakan “Kemakmuran Bersama," memaparkan pencapaian penting dalam memperteguh kerjasama dan menggalakkan inovasi di seluruh rantau ini.
Menurutnya sidang kemuncak itu, yang memfokuskan kepada teknologi baharu, mobiliti kemampanan dan infrastruktur serantau, berperanan sebagai platform untuk menyatukan Malaysia, China, ASEAN dan komuniti perniagaan global.
Pada majlis berkenaan, Qube Integrated turut melancarkan “MITEC Preferred Card,” inisiatif eksklusif bagi mengiktiraf dan memberikan ganjaran kepada pelanggan serta mengalu-alukan kerjasama baharu pada 2025.
Ia dihasilkan untuk meningkatkan pengalaman pelanggan dengan menawarkan manfaat eksklusif dan mendorong penglibatan yang lebih besar dalam ekosistem MITEC.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Qube Integrated Richard Teo berkata, kerjasama antara MITEC, yang diuruskan oleh Qube Integrated, dan Asia CEO Community mencerminkan visi bersama untuk memacu pertumbuhan, inovasi dan pembangunan kepimpinan di seluruh sektor utama.
“MITEC Preferred Card adalah kaedah untuk kami menunjukkan penghargaan kepada pelanggan dan memperkukuh kedudukan MITEC sebagai hab dialog, inovasi dan kepimpinan.
“Menjelang 2025, kami mengajak komuniti kami untuk terus bersama-sama membina peluang luar biasa,” katanya.
Pengasas Asia CEO Community Gary Lim berkata organisasi itu sentiasa berusaha untuk menghubungkan pemimpin yang berwawasan bagi memacu pertumbuhan perniagaan penting.
"Kerjasama dengan MITEC dan Qube Integrated meluaskan jangkauan kami dan membolehkan kami mencipta platform yang lebih bertenaga untuk kerjasama.
“Kami berharap dapat meningkatkan kerjasama serantau dan menyokong perniagaan dalam merealisasikan potensi penuh mereka,” katanya.
Sebagai antara lokasi terbesar di rantau ini bagi penganjuran mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran, MITEC akan terus menetapkan penanda aras baharu terhadap inovasi dan perkhidmatan dalam industri acara global di bawah pengurusan Qube Integrated.
-- BERNAMA