KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini melancarkan Kempen LESTARIPendidikan, inisiatif untuk memastikan pendidikan tinggi kekal inklusif, mampan dan relevan bagi generasi akan datang.
Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata kempen yang membawa mesej ‘Memperkasakan Rakyat Melalui Pendidikan Tinggi dan Tanggungjawab Kewangan’ itu penting, bertujuan memperkukuh tanggungjawab sosial dan kewangan peminjam dalam menjamin kelestarian dana pendidikan negara.
“Mesej utama kempen ini adalah untuk memperkasakan rakyat melalui pendidikan tinggi di samping membantu peminjam menyelesaikan tanggungjawab membayar hutang PTPTN dengan lebih berkesan.
“Pendidikan tinggi ialah landasan untuk meningkatkan taraf hidup yang hanya dapat direalisasi jika dana pendidikan kekal mampan,” katanya pada majlis pelancaran Kempen LESTARIPendidikan di Menara PTPTN, di sini hari ini.
Beliau berkata pembayaran balik yang diterima akan membolehkan PTPTN membantu 450,000 peminjam sedia ada serta 150,000 peminjam baharu setiap tahun, melibatkan lebih RM3 bilion setahun.
Beliau berkata tunggakan pinjaman PTPTN berjumlah RM11.32 bilion setakat September lepas, melibatkan lebih 1.25 juta peminjam yang culas.
Norliza berkata kempen LESTARIPendidikan merangkumi inisiatif yang dirangka untuk meringankan beban peminjam menerusi pendekatan lebih fleksibel dan proaktif seperti #PTPTNBolehBincang serta #PTPTNSediaBantu.
“#PTPTNBolehBincang membolehkan peminjam berbincang atau berunding untuk pelan pembayaran fleksibel iaitu penstrukturan semula bayaran balik pinjaman mengikut kemampuan kewangan mereka.
“#PTPTNSediaBantu pula memudahkan peminjam berurusan dengan menyediakan pelbagai saluran bayaran balik lebih mudah, cepat dan selamat yang boleh membantu dan memudahkan para peminjam yang mempunyai sebarang pertanyaan atau urusan berkaitan bayaran balik pinjaman,” katanya.
Beliau berkata PTPTN komited bagi membantu peminjam menyelesaikan hutang pinjaman dengan lebih berkesan melalui #PTPTNBolehBincang dan #PTPTNSediaBantu sebagai ruang untuk menyelesaikan bayaran balik pinjaman.
Norliza berkata kempen LESTARIPendidikan berteraskan kepada empat elemen penting iaitu Transformasi untuk meningkatkan kesedaran tentang peranan PTPTN dalam akses pendidikan tinggi; Aspirasi untuk menyokong pelajar mencapai impian pendidikan tertinggi; dan Realisasi bagi memastikan peluang pendidikan berterusan melalui pembayaran balik peminjam yang bertanggungjawab.
“Inovasi pula adalah dengan memperkenalkan aplikasi seperti myPTPTN dan myWaqafPTPTN untuk memudahkan urusan pembayaran dan pengurusan pinjaman,” katanya.
Dalam pada itu, beliau meminta semua pihak termasuk alumni, badan bukan kerajaan dan pemimpin komuniti untuk membantu menyebarkan mesej positif berhubung Kempen LESTARIPendidikan, sekali gus dapat memastikan sistem pendidikan tinggi terus kukuh dan inklusif selaras dengan aspirasi negara.
-- BERNAMA