AM

LIMA SEKELUARGA MAUT KEMALANGAN DI MELAKA SELAMAT DIKEBUMIKAN

24/12/2024 09:26 PM

KAJANG, 24 Dis (Bernama) -- Lima sekeluarga yang maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Ayer Keroh malam tadi, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bandar Baru Bangi (Sungai Tangkas), di sini malam ini.

Jenazah Fadzlenna Ramli, 32, dan anak bongsunya Muhammad Umar Khairul Ikhwan, 2, ditempatkan dalam satu liang lahad, manakala suaminya Khairul Ikhwan Mazupi, 32, serta ibu dan bapa Fadzlenna iaitu Ramli Ab Wahab, 66, dan Fauziah Jaafar, 69, dikebumikan dalam tiga liang lahad berasingan pada 7.45 malam.

Semua jenazah sebelum itu disolatkan di Surau Al-Ikhlas Seksyen 4 Tambahan Bandar Baru Bangi di sini pada 6 petang dengan dipimpin imam muda surau Mohd Nazmi Mohd Yusof dan disertai kira-kira 500 jemaah yang terdiri daripada rakan, jiran dan kawan sekerja.

Pada kejadian 8.45 malam tadi, tujuh maut manakala 33 cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran yang membawa 27 penumpang, dua lori, sebuah kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu Khairul Ikhwan.

Turut maut pemandu bas persiaran Noorisnien Khamid, 56, yang telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Maju Jaya, Kempas, Johor Bahru petang ini dan seorang penumpang bas persiaran warga Singapura Lamrah Asid Ali, 66.

Menteri Pengangkutan  Anthony Loke berkata siasatan awal pihak berkuasa mendapati kemalangan itu berpunca daripada tayar lori treler tercabut.

Beliau berkata bas persiaran terbabit dipercayai cuba mengelak daripada melanggar tayar itu, namun terbabas dan merempuh tiga kenderaan lain dari arah bertentangan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan