GEORGE TOWN, 24 Dis (Bernama) -- Projek pembangunan dan pengoperasian Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung Fasa 3 di sini yang sebelum ini dilaksanakan syarikat PLB Terang Sdn Bhd, dipindahkan kepada kerajaan Pulau Pinang melalui perjanjian penyelesaian yang ditandatangani pada 18 Dis lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri H'ng Mooi Lye berkata menerusi perjanjian itu syarikat tersebut akan menerima bayaran RM35 juta bagi memindahkan keseluruhan hak dan pemilikan fasiliti di tapak berkenaan kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
“Syarikat PLB Terang Sdn Bhd telah dilantik bagi membangunkan dan mengoperasikan tapak pelupusan tersebut dengan kemudahan pemulihan bahan (MRF) bagi tempoh 20 tahun pada 15 Julai 2012 hingga 14 Julai 2032.
“Pada Julai 2022, kerajaan negeri telah mengkaji semula kemajuan projek dan didapati terdapat banyak ketidakpatuhan dan kelewatan di pihak syarikat bagi melaksanakan pembangunan projek tersebut,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Disebabkan prestasi tidak memuaskan itu, beliau berkata kerajaan negeri memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan syarikat tersebut pada 1 Ogos 2022 dan pengoperasian tapak diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Mengulas lanjut, H’ng berkata susulan penamatan perjanjian dan mengambil kira kerja-kerja yang telah dilaksanakan di tapak serta syarat perjanjian konsesi, kerajaan negeri melalui kedua-dua PBT telah memasuki proses mediasi bersama syarikat itu bagi memuktamadkan syarat pemindahan fasiliti yang telah siap dibina.
Beliau memaklumkan kesemua pihak bersetuju dengan nilaian RM35 juta bagi memindahkan keseluruhan hak dan pemilikan fasiliti di tapak kepada kedua-dua PBT, justeru satu perjanjian penyelesaian ditandatangani pada 18 Dis lepas dengan pembayaran penyelesaian dibuat secara berperingkat mulai 2025 hingga 2027.
“Saya ingin menekankan bahawa bayaran tersebut dibuat atas persetujuan kedua-dua pihak untuk memindahkan hak dan pemilikan fasiliti di tapak kepada kedua-dua PBT dan bukannya pampasan yang dibayar kepada Syarikat PLB Terang Sdn Bhd,” katanya.
-- BERNAMA