DUNIA

TAHUN BERSEJARAH PILIHAN RAYA INDONESIA: PERUBAHAN POLITIK DAN HALA TUJU MASA DEPAN

25/12/2024 12:06 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 25 Dis (Bernama) -- Tahun 2024 menyaksikan kemajuan besar dalam perjalanan demokrasi Indonesia apabila negara itu mengadakan pilihan raya presiden, perundangan dan wilayah secara serentak buat kali pertama sejak berakhirnya era Orde Baru. 

Kemuncak tahun ini adalah kemenangan Prabowo Subianto sebagai presiden kelapan Indonesia, setelah percubaan kali ketiga untuk menerajui jawatan tertinggi negara.

Ketua Parti Gerindra itu, bersama gandingannya Gibran Rakabuming Raka memperoleh kemenangan yang memberangsangkan pada 14 Feb dengan meraih 58.6 peratus undi dalam satu pusingan sahaja. 

Dalam persaingan sengit itu, mereka mengalahkan calon lain seperti Anies Baswedan bersama Muhaimin Iskandar (24.9 peratus) dan Ganjar Pranowo dengan Mahfud MD (16.5 peratus). 

Prabowo, yang disokong oleh gabungan 10 parti politik Koalisi Indonesia Maju (KIM) secara rasmi mengambil alih jawatan pada 20 Okt, menggantikan presiden dua penggal Joko Widodo, yang mesra dikenali sebagai Jokowi.

Sebagai presiden, Prabowo memperkenalkan "Kabinet Merah Putih," barisan Kabinet terbesar sejak era Reformasi.

Ia terdiri daripada tujuh menteri penyelaras, 41 menteri, 13 ketua agensi peringkat Kabinet dan 56 timbalan menteri. Seramai 17 menteri dari pentadbiran Jokowi dikekalkan. 

Dalam pilihan raya perundangan, Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) yang dipimpin oleh Megawati Sukarnoputri kekal sebagai parti terbesar di luar gabungan KIM dengan memenangi 110 daripada 580 kerusi Dewan Perwakilan Rakyat (DPR). 

Golkar memperoleh 102 kerusi, diikuti Gerindra dengan 86, Nasdem dengan 69, Partai Kebangkitan Bangsa (PKB) dengan 68, Partai Keadilan Sejahtera (PKS) dengan 53, Partai Amanat Nasional dengan 48, dan Demokrat dengan 44, menguasai hampir 80 peratus kerusi DPR. 

Pada 27 Nov, pemilihan wilayah secara serentak diadakan di 37 provinsi, 93 bandar dan 415 kabupaten, dengan 103 pasangan calon gabenor, 284 pasangan calon datuk bandar, dan 1,168 pasangan calon daerah.

Calon yang disokong KIM Plus menang di wilayah utama seperti Jawa Barat dan Jawa Timur, mengatasi calon PDI-P.

Bagaimanapun, di Jakarta, calon PDI-P Pramono Anung dan Rano Karno memenangi pemilihan dengan 50.07 peratus undi dalam satu pusingan. 

Pada 16 Dis, PDI-P mengumumkan pemecatan tokoh penting termasuk Jokowi, anaknya Gibran dan menantunya Bobby Nasution.

Pemecatan ini dikatakan ditangguhkan sehingga selesai pilihan raya wilayah bagi mengelak reaksi negatif dari istana dan Jokowi sendiri. 

Jokowi yang menyokong Prabowo serta keputusan Gibran untuk bertanding sebagai naib presiden di bawah parti lain menjadi punca pemecatan mereka, sementara Bobby bertanding dalam pilihan raya gabenor Sumatera Utara di bawah KIM Plus. 

Mengorak langkah ke hadapan, Prabowo berjanji untuk menangani kemiskinan, memastikan keterjaminan makanan dan tenaga, serta meneruskan dasar ekonomi Jokowi seperti industry hiliran. 

Pada awal pemerintahannya, beliau memberi tumpuan kepada usaha membanteras rasuah, melancarkan program makan tengah hari di sekolah secara percuma, menyokong projek infrastruktur seperti Nusantara, memodenkan pertahanan dan menyokong kemerdekaan Palestin. 

Indonesia ialah negara demokrasi ketiga terbesar di dunia berdasarkan jumlah pengundi, selepas India dan Amerika Syarikat, dengan hampir 30 peratus daripada 282 juta penduduknya adalah golongan muda.

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan