JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS TEMPATKAN 40 ANGGOTA PASTIKAN KELANCARAN HUKUMAN SEBAT

25/12/2024 02:16 PM

KUALA TERENGGANU, 25 Dis (Bernama) -- Polis akan menempatkan kira-kira 40 pegawai dan anggota di Masjid Al-Muktafi Billah Shah (Masjid Ladang), di sini bagi mengawal keselamatan dan kelancaran proses hukuman sebat ke atas seorang tukang rumah, Jumaat ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada mana-mana individu atau kumpulan yang cuba mencetuskan provokasi kepada petugas atau pesalah pada hari tersebut.

"Hanya 70 individu sahaja dibenarkan memasuki ruangan tempat hukuman sebat dijalankan.

"Saya ingin menasihati orang ramai yang hadir di Masjid Ladang pada Jumaat ini supaya keluar dengan segera setelah selesai menunaikan solat Jumaat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak berkumpul di luar atau di sekitar perkarangan masjid kerana dikhuatiri boleh mengganggu kelancaran proses hukuman yang akan dilaksanakan.

"Sebarang rakaman tidak dibenarkan. Pihak polis akan melakukan pemeriksaan bagi memastikan tiada alatan elektronik atau telekomunikasi di bawa masuk ke ruangan hukuman. Hukuman telah diputuskan. Saya mohon supaya semua pihak menghormati undang-undang dan tidak melakukan kekacauan," katanya.

Jumaat ini, Mohd Affendi Awang, 42, akan menjadi individu pertama di Terengganu yang dihukum dengan enam kali sebatan di khalayak ramai.

Hukuman itu diputuskan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu pada 20 Nov lepas setelah lelaki itu mengaku salah atas kesalahan khalwat berulang mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan