EKONOMI

FIUU PACU INOVASI, PERLUAS CAPAIAN DI TENGAH-TENGAH LONJAKAN PEMBAYARAN DIGITAL

26/12/2024 05:01 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Lonjakan penggunaan pembayaran digital semasa pandemik telah mempercepat permintaan terhadap penyelesaian yang selamat dan berkembang, dan Fiuu, penyedia penyelesaian pembayaran dalam talian, berada di kedudukan baik untuk memenuhi keperluan ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Eng Sheng Guan berkata Fiuu mencatatkan pertumbuhan luar biasa dengan kuantiti transaksi meningkat daripada RM7 bilion pada 2018 kepada RM29.7 bilion pada 2023, disokong oleh visi jelas dan pelaksanaan yang berkesan.

Beliau berkata rangkaian meluas Fiuu yang mempunyai lebih sejuta titik penerimaan fizikal menyediakan liputan yang tiada tandingan di seluruh Asia Tenggara.

“Perkongsian strategik dengan syarikat terkemuka dan skim pembayaran global mencipta peluang pertumbuhan baharu.

“Kebolehsuaian kami, pendekatan menumpu kepada pelanggan dan tumpuan berterusan terhadap inovasi adalah kunci yang memacu kejayaan berterusan ini,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

Eng berkata pengembangan pesat di seluruh Asia Tenggara, rantau yang terkenal dengan kepelbagaiannya, memerlukan ketepatan dan kecekapan, dan "kami mencapainya dengan memanfaatkan teknologi automasi termaju, memperkemas operasi dan membina infrastruktur yang mampu mengendalikan berbilion-bilion transaksi."

Memandangkan ekonomi digital Asia Tenggara diunjur mencecah US$295 bilion (US$1=RM4.48) menjelang 2025, Fiuu berada di kedudukan strategik untuk memacu dan memanfaatkan pertumbuhan transformatif ini.

Beliau berkata penyelesaian pembayaran syarikat itu yang komprehensif, merangkumi kaedah dalam talian dan luar talian, dapat memperkasakan perniagaan untuk menyesuaikan dengan tuntutan pendigitalan.

Dengan merapatkan jurang antara perdagangan tradisional dan ekosistem digital moden, Fiuu membolehkan perusahaan dalam semua saiz untuk berkembang maju dalam dunia yang semakin saling berkait, katanya.

“Rangkaian titik penerimaan fizikal kami yang luas memastikan kami mencapai komuniti yang paling terpencil, memupuk keterangkuman dan menangani keperluan unik pasaran Asia Tenggara yang pelbagai.

“Kebolehcapaian ini bukan sahaja menyokong perniagaan tetapi juga mewujudkan peluang untuk individu di kawasan pedalaman turut mengambil bahagian dalam ekonomi digital,” katanya.

 

Menangani Cabaran Bina Ekosistem Pembayaran Yang Dipercayai

Eng berkata evolusi Fiuu menjadi salah satu pemproses pembayaran terbesar di Asia Tenggara adalah bukti daya tahan dan komitmen syarikat itu untuk mencapai kecemerlangan.

Sepanjang proses ini syarikat tersebut menempuh pelbagai cabaran termasuk berdepan kerumitan kawal selia, menangani keperluan pengembangan dan membina kepercayaan pengguna.

Bagi mengatasi halangan ini, syarikat itu telah mewujudkan rangka kerja pematuhan yang teguh, bekerjasama rapat dengan pengawal selia untuk memastikan penjajaran dengan undang-undang tempatan.

“Kami menangani keupayaan pengembangan melalui peningkatan teknologi secara berterusan, membolehkan kami mengendalikan peningkatan jumlah transaksi dengan mudah.

“Kepercayaan diperoleh melalui tumpuan tidak berbelah bahagi kami terhadap keselamatan dan kebolehpercayaan, memastikan setiap pengguna berasa yakin dengan sistem kami.

“Setiap cabaran yang kami hadapi menyediakan peluang untuk kami berkembang dengan lebih kukuh, mengukuhkan penerajuan kami dalam industri teknologi kewangan,” katanya.

Menurutnya, untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran kawal selia Asia Tenggara yang rumit syarikat itu perlu bertindak tangkas, berpandangan jauh dan menjalin kerjasama erat.

Eng berkata syarikat itu komited untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa kawal selia bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan tempatan sambil mengekalkan fleksibiliti untuk bertindak balas dengan pantas kepada perubahan.

Rangka kerja pematuhan Fiuu yang kukuh melindungi operasinya dan memupuk inovasi berterusan.

Beliau berkata ketelusan merupakan tumpuan utama dalam pendekatan mereka yang memupuk kepercayaan dalam kalangan pihak berkepentingan dan memastikan usaha mereka bukan hanya sekadar memenuhi piawaian.

“Dengan meneraju keterangkuman kewangan, kami memperkasakan pasaran yang kurang mendapat perkhidmatan, membuka peluang baharu bagi pertumbuhan dan kebolehcapaian.

“Komitmen ini meletakkan kami sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai dalam memajukan ekosistem kewangan yang lebih inklusif dan inovatif,” katanya.

 

Visi Fiuu bagi Transformasi Teknologi Kewangan di Asia Tenggara

Dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, Fiuu menyasar untuk merangka semula landskap teknologi kewangan di Asia Tenggara bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju transformatif dalam industri.

Eng berkata, pelan hala tuju syarikat itu termasuk meluaskan kehadiran pasaran  ke wilayah yang belum diteroka, memajukan teknologi untuk menyediakan penyelesaian pembayaran  pintar, dan merintis inovasi dalam bidang seperti pencegahan penipuan dipacu kecerdasan buatan (AI) dan perkhidmatan kewangan disesuaikan yang memenuhi keperluan pelanggan.

“Kami berhasrat untuk memperdalam kerjasama dengan peniaga dan penyedia skim, mewujudkan ekosistem penyelesaian yang bukan sahaja kekal kompetitif tetapi juga menetapkan piawaian baharu untuk mencapai kecemerlangan.

“Tumpuan bukan semata-mata untuk menyesuaikan diri dengan ekonomi digital yang berkembang tetapi juga membentuk trajektori secara aktif.

“Dengan memacu inovasi dan meneraju keterangkuman, kami berhasrat membina masa depan yang mana pembayaran memperkasakan perniagaan dan individu, mewujudkan ekosistem kewangan yang lancar, berhubung dan dinamik bagi rantau ini,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan