TEMERLOH, 26 Dis (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan rokok dan minuman keras bernilai lebih RM1.6 juta dalam tiga serbuan berasingan di Johor dan Selangor.
Pengarah Kastam Pahang Mohd Asri Seman berkata dalam operasi pertama pada 3 Dis lepas sekitar 11.15 malam, Cawangan Penguatkuasaan JKDM Stesen Temerloh telah menyerbu sebuah rumah di Ulu Tiram, Johor yang dijadikan stor menyimpan rokok putih dan kretek.
“Hasil pemeriksaan, pasukan menemui rokok pelbagai jenama berjumlah 449,400 batang dianggarkan bernilai RM49,340 dengan duti berjumlah RM301,538,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Dalam kes kedua, pada 10 Dis lepas, kastam menyita sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Vellfire yang membawa muatan rokok putih dan kretek, di kawasan parkir berdekatan sebuah taman perumahan di Tebrau, Johor dan menemukan sebanyak 380,800 batang rokok pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM55,856 dengan nilai duti RM256,913.60.
Kedua-dua kes tersebut, disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.
Mohd Asri berkata bagi kes ketiga pada 12 Dis, kastam dengan kerjasama Unit Kawalan Kontena (CCU) Selangor telah berjaya menyita sebuah kontena bersaiz 12 meter (40 kaki) dengan muatan minuman keras di Pelabuhan Utara Klang, Selangor.
“Kontena itu berisi 26,400 liter atau 52,800 tin minuman keras jenis bir yang disyaki tidak mempunyai permit import, dianggarkan bernilai RM60,693.60 dengan duti sebanyak RM891,208.56, namun tiada tangkapan dilakukan.
Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967.
-- BERNAMA