KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Kenanga Research menyemak semula unjuran keuntungan teras tahun kewangan 2025 Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) dengan peningkatan sebanyak 10 peratus yang mencerminkan jangkaan kenaikan harga poliolefin yang lebih tinggi dan keuntungan yang lebih baik bahagian khusus.
Harga poliolefin kini diunjurkan pada US$1,150 (US$1 = RM4.47) satu tan, meningkat daripada anggaran awal US$1,000 satu tan.
Dalam satu nota hari ini, firma penyelidikan itu berkata harga poliolefin dijangka meningkat buat tahun ketiga berturut-turut pada 2025.
Ia turut menyatakan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Institut Pengurusan Bekalan Amerika Syarikat (AS) berada dalam aliran menurun sejak 2022, secara konsisten kekal di bawah paras 50 sepanjang 2023 dan 2024, menunjukkan penguncupan industri yang berpanjangan.
"Arah aliran PMI yang positif ini bergerak seiring dengan peningkatan tahun ke tahun harga poliolefin, dan kami percaya pelabur perlu memberi perhatian kepada kemungkinan titik peralihan pada tahun 2025,” katanya.
Mengenai bahagian kimia khusus, firma penyelidikan itu menjangkakan pemulihan yang berterusan dalam margin dan volum, didorong oleh pemulihan beransur-ansur ekonomi Eropah, yang dijangka disokong oleh pemotongan kadar awal oleh bank pusat menjelang tahun kewangan 2025.
“Selain itu, rancangan China yang tidak jelas terhadap pelaksanaan langkah ekonomi akomodatif boleh meningkatkan lagi permintaan untuk bahan kimia khusus.
“Bersandarkan kepada prospek yang positif ini, kami menyemak semula unjuran keuntungan bahagian khusus PCG kepada RM165.1 juta berbanding RM30 juta pada jangkaan awal,” kata Kenanga.
Sementara itu, firma penyelidikan itu juga mengunjurkan potensi pengetatan sedikit dalam kapasiti petrokimia pada 2025, sama seperti 2018, terutamanya untuk PCG yang akan menjalankan aktiviti penyelenggaraan semula lojinya.
Kenanga berkata aktiviti penyelenggaraan loji dijangka meningkat berbanding tempoh 2023−2024, didorong oleh penyelenggaraan tertunda dan infrastruktur yang semakin uzur di seluruh dunia.
-- BERNAMA