Oleh Anas Abu Hassan
KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia mengekalkan momentum positifnya untuk ditutup kukuh hari ini disokong oleh minat belian berterusan di tengah-tengah sentimen positif di seluruh pasaran, kata seorang penganalisis.
Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 10.71 mata atau 0.67 peratus kepada 1,613.70 berbanding 1,602.99 pada Selasa.
Bursa Malaysia ditutup pada Rabu sempena cuti umum sambutan hari Krismas.
Indeks utama itu dibuka tinggi sedikit naik 0.59 mata kepada 1,603.58, dan bergerak dalam aliran menaik daripada paras terendah intra hari pada 1,602.79 semasa sesi pagi kepada paras tertinggi 1,615.28 pada dagangan lewat petang.
Suasana pasaran juga positif, dengan kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 692 berbanding 295, manakala 499 kaunter kekal tidak berubah, 936 tidak diniagakan dan 17 digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 2.47 bilion unit bernilai RM1.87 bilion daripada 2.01 bilion unit bernilai RM1.54 bilion pada Selasa.
Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata prestasi positif pasaran hari ini disokong oleh minat belian terhadap saham mewah semasa tempoh aktiviti memperelokkan akaun.
"Sentimen pasaran terus disokong oleh kenaikan berterusan di Wall Street pada Selasa dengan saham teknologi menerajui kenaikan dan merangsang keyakinan pelabur.
"Bagaimanapun, jumlah dagangan kekal lemah sebanyak 2.4 bilion unit kerana ramai pelabur masih bercuti sempena menyambut Krismas," katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik empat sen kepada RM10.12, Public Bank susut satu sen kepada RM4.54, CIMB menambah tujuh sen kepada RM8.04, Tenaga Nasional meningkat 10 sen kepada RM14.18, dan IHH Healthcare menokok 12 sen kepada RM7.20.
Dalam kalangan kaunter cergas, Zen Tech dan Sarawak Cable masing-masing tidak berubah pada setengah sen dan 14 sen, JCY meningkat 3.5 sen kepada 56 sen, SNS Network mengukuh 10 sen kepada 67 sen, Vanzo naik 2.5 sen kepada 20.5 sen dan Globetronics menambah 3.0 sen kepada 60.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 96.70 mata kepada 12,379.58, Indeks FBM Emas Shariah naik 115.83 mata kepada 12,353.49 dan Indeks FBMT 100 menokok 93.26 mata kepada 12,062.61.
Indeks FBM ACE meningkat 51.80 mata kepada 5,333.36 dan Indeks FBM 70 melonjak 192.61 mata kepada 18,567.88.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 74.59 mata kepada 18,958.32, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 2.97 mata kepada 173.35, Indeks Tenaga menambah 7.12 mata kepada 822.18, dan Indeks Perladangan mengukuh 32.43 mata kepada 7,541.11.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.41 bilion unit bernilai RM1.67 bilion daripada 1.05 bilion unit bernilai RM1.36 bilion pada Selasa.
Jumlah dagangan waran susut kepada 407.26 juta unit bernilai RM29.89 juta daripada 562.60 juta unit bernilai RM56.40 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 646.78 juta unit bernilai RM160 juta berbanding 399.02 juta unit bernilai RM128.45 juta.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 221.16 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (272.58 juta), pembinaan (80.85 juta), teknologi (342.71 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (45.96 juta), hartanah (165.11 juta), perladangan (22.97 juta), REIT (9.86 juta), dana tertutup (13,200), tenaga (82.67 juta), penjagaan kesihatan (69.49 juta), telekomunikasi dan media (16.44 juta), pengangkutan dan logistik (31.21 juta), utiliti (51.71 juta), dan amanah perniagaan (184,300).
-- BERNAMA