MELAKA, 26 Dis (Bernama) -- Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) akan memberi bantuan sewajarnya kepada keluarga dua pelajar yang maut selepas kenderaan dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh besi penghadang di Kilometer 186.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini pagi tadi.
Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata pihak universiti juga akan membantu urusan penghantaran jenazah Allahyarham Nurul Syafiqah Nasruddin dan Allahyarham Nurhanis Afryna Azizan masing-masing berusia 19 tahun, ke kampung halaman masing-masing di Gemencheh, Negeri Sembilan dan Muadzam Shah, Pahang.
"Seluruh warga UTeM melahirkan rasa dukacita atas pemergian dua pelajar berkenaan dan bersimpati dengan kejadian yang menimpa mereka.
"Pihak pengurusan dan seluruh warga UTeM turut bersedih menerima perkhabaran ini dan mengucapkan salam takziah kepada ibu bapa serta ahli keluarga pelajar terlibat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Massila berkata pada masa sama pihak universiti itu juga sedang menguruskan pampasan insurans kematian dan sumbangan daripada Tabung Khairat Pelajar UTeM kepada keluarga mangsa.
Dalam kejadian pada 6.30 pagi itu, Nurul Syafiqah Nasruddin dan Nurhanis Afryna Azizan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu Nur Hanis Suraya Supiyan, 19, serta seorang lagi penumpang Azwalidiya Azman, 21, mengalami kecederaan dan kini sedang dirawat di Hospital Melaka.
-- BERNAMA