IPOH, 26 Dis (Bernama) -- Golongan ibu tunggal di luar bandar berupaya meningkatkan pendapatan keluarga serta memperbaiki taraf hidup menerusi penghasilan yogurt dan kimchi buatan Malaysia, yang sihat dan bernutrisi untuk pasaran setempat.
Naib Presiden Kanan Bahagian Sokongan Industri Bioeconomy Corporation Sdn Bhd (Bioeconomy Corporation) Nora Mohamed dalam satu kenyataan hari ini berkata penghasilan produk makanan itu, mendapat sambutan baik dalam kalangan rakyat Malaysia.
Beliau berkata sebagai permulaan, pihaknya melalui Program Kembara Komuniti bersama Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia (PITKM), mengumpulkan 35 ibu tunggal yang diberi tunjuk ajar berkaitan cara penghasilan makanan itu.
“Usaha pemberdayaan ibu tunggal dilaksanakan melalui pembelajaran sains yang memfokuskan teknologi penapaian dengan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam penghasilan makanan khususnya pembuatan yogurt dan kimchi.
“Peserta juga diberi pendedahan keusahawanan bagi membolehkan mereka mencipta peluang pendapatan yang mampan,” katanya.
Terdahulu, Bioeconomy Corporation memaklumkan bahawa program yang berlangsung di Dewan Orang Ramai Kampung Padang di Behrang, hari ini memberi peluang kepada peserta mempelajari kaedah terbaik penghasilan yogurt dan kimchi, menekankan penggunaan bahan segar seperti sayur-sayuran dan enzim rempah tempatan bagi menjaga keaslian kimchi buatan Malaysia.
Program itu turut disertai syarikat berstatus BioNexus, Bio Tree Biotechnology Sdn Bhd selaku penyedia latihan serta Alpro Pharmacy yang mengadakan pemeriksaan kesihatan secara percuma.
Nora berkata program seumpama itu juga dilihat membantu golongan ibu tunggal menambah pengetahuan berhubung kaedah pengendalian, amalan kebersihan dan keselamatan makanan mengikut prosedur ditetapkan.
-- BERNAMA