AM

PULAU PINANG, JOHOR, SELANGOR, SARAWAK DAN KL DOMINASI EKSPORT PADA NOVEMBER

27/12/2024 03:47 PM

KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) -- Pulau Pinang, Johor, Selangor, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terus mendominasi eksport Malaysia yang menyumbang secara keseluruhannya sebanyak 83.8 peratus pada November 2024, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata prestasi eksport bernilai RM126.6 bilion pada November 2024 iaitu peningkatan sebanyak RM5.0 bilion (+4.1 peratus) berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan menyumbang sebanyak 36.4 peratus diikuti oleh Johor (18.4 peratus), Selangor (17.3 peratus), Sarawak (7.9 peratus) dan Kuala Lumpur (3.8 peratus).

“Peningkatan eksport dipengaruhi oleh eksport lebih tinggi di kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (+RM10.7 bilion); Perak (+RM373.5 juta); Labuan (+RM258.8 juta); Selangor (+RM46.8 juta); Melaka (+RM18.0 juta) dan Perlis (+RM3.6 juta).

“Bagaimanapun, nilai eksport susut di Kuala Lumpur sebanyak RM2.0 bilion manakala Johor (-RM1.9 bilion); Kedah (-RM1.0 bilion); Sabah (-RM390.2 juta); Terengganu (-RM353.7 juta); Pahang (-RM262.0 juta), Negeri Sembilan (-RM217.7 juta); Sarawak (-RM180.3 juta) dan Kelantan (-RM20.1 juta),” katanya dalam kenyataan media Statistik Eksport Import Mengikut Negeri bagi November 2024.

Mengulas prestasi import pada November 2024, Mohd Uzir berkata import menokok RM1.8 bilion (+1.6%) berbanding tempoh sama pada 2023.

Peningkatan itu didorong oleh import lebih tinggi di kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (+RM5.4 bilion); Johor (+RM499.2 juta); Labuan (+RM232.1 juta); Kedah (+RM158.3 juta); Kelantan (+RM57.4 juta); Perlis (+RM53.6 juta) dan Terengganu (+RM52.4 juta).

Namun, katanya, nilai import jatuh di Negeri Sembilan sebanyak RM1.3 bilion; Kuala Lumpur (-RM1.1 bilion); Melaka (-RM746.4 juta); Pahang (-RM706.6 juta); Sarawak (-RM625.8 juta); Perak (-RM354.1 juta); Selangor (-RM316.2 juta) dan Sabah (-RM232.3 juta).

“Selangor mendominasi import Malaysia dengan sumbangan sebanyak 25.8 peratus dan diikuti oleh Pulau Pinang (24.7 peratus); Johor (20.5 peratus); Kuala Lumpur (8.3 peratus) dan Kedah (5.7 peratus).

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan