GUA MUSANG, 27 Dis (Bernama) -- Pembinaan empangan hidroelektrik Nenggiri di Kampung Star di sini mampu mengawal kira-kira 40 peratus masalah banjir di Kelantan.
Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Gua Musang Nik Raisnan Daud berkata projek yang menelan belanja RM5 bilion itu juga berperanan sebagai kawasan tadahan air untuk menampung jumlah hujan yang mempengaruhi kenaikan paras sungai.
"Projek yang membentuk tasik takungan utama seluas 53.84 kilometer (km) persegi dan kolam pengaturan aliran seluas 0.97 km persegi itu juga mampu menjadi sistem tebatan banjir untuk menyekat pengaliran air yang banyak ke dalam sungai.
"Projek ini masih dalam fasa pembinaan dan apabila siap kelak ia dijangka mengurangkan sekurang-kurangnya 40 peratus masalah banjir di kawasan hilir Kelantan terutama di Kota Bharu," katanya kepada pemberita selepas meninjau kemajuan projek berkenaan di sini hari ini.
Beliau berkata empangan seluas 5,400 hektar itu juga akan berupaya mengawal aliran Sungai Nenggiri terutama ketika musim tengkujuh.
"Punca tadahan air di Gua Musang adalah dari Sungai Lebir dan Sungai Nenggiri maka dengan adanya empangan ini ia dapat mengawal peratusan air yang mengalir ke hilir.
"Malah, ketika ini kerja-kerja pembinaan diteruskan walaupun pada musim tengkujuh kerana kita harap ia dapat disiapkan menjelang November 2027 dan mengikut jadual ditetapkan,” katanya.
Pembinaan projek Hidroelektrik Nenggiri mula dilaksanakan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada Mac 2022 lepas dan bakal menjana 300 megawatt (MW) sumber tenaga boleh diperbaharui.
-- BERNAMA