AM

PENERBANGAN TERUS XI'AN-PENANG MULAI 30 DIS, PERKUKUH HUBUNGAN PELANCONGAN MALAYSIA-CHINA

27/12/2024 05:05 PM

GEORGE TOWN, 27 Dis (Bernama)  -- Syarikat penerbangan China Loong Air, akan melancarkan penerbangan terus baharu dari Xi’an ke Pulau Pinang bermula 30 Dis ini, menandakan satu pencapaian penting dalam kerjasama pelancongan dan penerbangan antara Malaysia dan China.

Timbalan Pengerusi Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) Datuk Yeoh Soon Hin berkata laluan baharu ini merupakan satu lagi penambahan penting kepada rangkaian penerbangan antarabangsa Pulau Pinang, selepas pengenalan penerbangan terus dari Shanghai Pudong ke Pulau Pinang oleh Shanghai Airlines pada 1 Ogos tahun ini.

Beliau berkata pelancaran penerbangan terus Xi’an-Pulau Pinang ini adalah hasil usaha Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya  Datuk Seri Tiong King Sing, yang telah mengunjungi China pada 2023 dan 2024 untuk memujuk Loong Air memulakan penerbangan terus ke Malaysia.

“Semasa lawatan tersebut, menteri bersama pasukan Tourism Malaysia secara aktif mempromosikan potensi laluan seperti ini. Menteri juga mengetuai delegasi ke ibu pejabat Loong Air, di mana perbincangan mendalam mengenai laluan baharu ini diadakan,” jelas Yeoh.

“Melalui kerjasama dengan Kementerian Pengangkutan (MOT), proses permohonan laluan oleh syarikat penerbangan asing dipermudahkan, memberikan sokongan penting untuk memperkenalkan penerbangan baharu ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yeoh turut menekankan bahawa pelancaran laluan Xi’an-Pulau Pinang ini adalah hasil kerjasama erat antara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan MOT.

Laluan baharu Xi’an-Pulau Pinang oleh Loong Air akan menggunakan pesawat Airbus A320, dengan jadual penerbangan dua kali seminggu, iaitu pada hari Isnin dan Jumaat.

Penerbangan GJ8005 akan berlepas dari Xi’an pada pukul 1.30 petang (waktu tempatan) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Xianyang dan tiba di Pulau Pinang pada pukul 7 malam, dengan tempoh penerbangan kira-kira lima jam 20 minit.

Sementara itu, penerbangan pulang GJ8006 akan berlepas dari Pulau Pinang pada pukul 8 malam dan tiba di Xi’an pada pukul 12.50 tengah malam (waktu tempatan) keesokan harinya, dengan tempoh penerbangan dianggarkan empat jam 50 minit.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan