AM

MAINPP LULUS RM3.19 JUTA UNTUK SKIM AGIHAN PAKAIAN, PERALATAN SEKOLAH 2025

27/12/2024 07:41 PM

GEORGE TOWN, 27 Dis (Bernama) -- Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) meluluskan dana RM3.19 juta untuk Skim Agihan Pakaian dan Peralatan Persekolahan Sesi 2025, melibatkan kira-kira 21,000 pelajar di seluruh negeri berkenaan.

Yang Dipertua MAINPP Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid yang juga Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang berkata bantuan itu, akan diagihkan kepada pelajar melalui kaedah pembayaran tanpa tunai, dengan setiap pelajar menerima RM150.

“Sebagaimana amalan biasa, setiap tahun Zakat Pulau Pinang (ZPP) mengagihkan dana kepada pelajar melalui skim ini, bagi meringankan beban ibu bapa daripada golongan kurang berkemampuan untuk membeli pakaian dan peralatan persekolahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata sebanyak RM10.15 juta telah diagihkan kepada 23,528 asnaf fakir dan miskin untuk meringankan beban serta memberikan kegembiraan kepada mereka sempena sambutan Ramadan dan Aidilfitri menerusi Skim Agihan Nur Ramadan 2024.

Mohamad yang juga Pengerusi ZPP berkata bermula tahun depan, MAINPP melalui ZPP akan melakukan penambahbaikan dalam proses pengagihan skim berkenaan.

Beliau berkata proses pengagihan Skim Agihan Pakaian dan Peralatan Persekolahan hanya akan melibatkan pencalonan penerima daripada pihak sekolah dan ZPP, manakala proses pengagihan Skim Agihan Nur Ramadan melibatkan ZPP sebagai penyedia data asnaf kepada Masjid Kariah, sebelum data berkenaan disahkan oleh Masjid Daerah di Pulau Pinang.

“Proses pencalonan kali ini tidak akan melibatkan pihak lain seperti kebiasaan tahun-tahun sebelumnya seperti Ahli MAINPP, Ahli Lembaga Pengarah ZPP, Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Pulau Pinang,” katanya.

Mohamad berkata keputusan itu dibuat bagi memastikan pengagihan dua skim berkenaan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan telus.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan