KUALA LUMPUR, 28 Dis (Bernama) -- Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (Waspada) bagi beberapa kawasan di Sabah sehingga 30 Dis 2024.
MetMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan kawasan terlibat adalah Pedalaman (Tambunan), Pantai Barat, Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) serta Kudat.
Amaran serupa turut dikeluarkan bagi tempoh 29 hingga 31 Dis 2024 untuk kawasan tertentu di Kelantan seperti Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh, dan Kuala Krai. Kawasan terlibat di Terengganu serta Pahang pula meliputi Kuantan, Pekan, dan Rompin.
Orang ramai dinasihatkan mendapatkan maklumat terkini mengenai cuaca melalui laman web rasmi MetMalaysia, aplikasi mudah alih myCuaca atau media sosial rasmi jabatan tersebut.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan melalui talian hotline 1-300-22-1638.
-- BERNAMA