MELAKA, 28 Dis (Bernama) -- Program Jelajah Pulau Pinang @ Melaka yang memperkenalkan 'signature' produk keluaran usahawan negeri itu antaranya nasi kandar, pasembur dan laksa Penang menyasarkan nilai jualan sebanyak RM210,000.
Exco Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Luar Bandar Pulau Pinang Datuk Rashidi Zinol berkata kira-kira 7,000 pengunjung disasar ke program jelajah itu yang berlangsung di Dataran Pantai Klebang di sini selama tiga hari bermula semalam.
“Sebanyak 40 usahawan yang melibatkan makanan, minuman, produk kraftangan, dan agromakanan dari Pulau Pinang serta Melaka terlibat dalam jelajah ini, yang akan turut diperluaskan ke beberapa negeri lain selepas Melaka sebagai destinasi pertama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Pulau Pinang @ Melaka.
Turut hadir, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka Nor Azhar Abdul Hamid.
Rashidi berkata program ini diharap memberi peluang kepada usahawan Pulau Pinang untuk memanfaatkan limpahan ekonomi di Melaka, terutama sekali dengan pelbagai aktiviti yang dianjurkan sempena Tahun Melawat Melaka 2024, menjadikan negeri ini tumpuan pelancong pada musim cuti sekolah.
Mengulas lanjut, Rashidi berkata Program Jelajah Pulau Pinang bukan sahaja menjadi medium untuk membantu usahawan memasar dan mempromosikan produk keluaran mereka tetapi juga sektor pelancongan Pulau Mutiara itu.
Beliau berkata selain gerai jualan produk usahawan, pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan kebudayaan dari Pulau Pinang seperti boria.
Katanya program yang merupakan kerjasama antara kerajaan negeri menerusi FAMA itu turut menawarkan Jualan Agro MADANI melibatkan ayam, daging, Kombo MADANI (tepung, gula, minyak masak dan bawang besar) serta buah-buahan.
-- BERNAMA