KUALA LUMPUR, 28 Dis (Bernama) -- Pasukan silambam Malaysia merangkul 12 pingat emas sekali gus muncul juara keseluruhan di Kejohanan Silambam Terbuka Asia di Qatar semalam.
Presiden Persatuan Silambam Malaysia Dr M. Suraess berkata enam atlet negara mempamerkan aksi cemerlang dengan masing-masing menyumbangkan dua emas menerusi kategori kemahiran individu dan tempur di Kompleks Sukan Doha.
Pemenang pingat emas itu terdiri Prakash dalam kategori lelaki terbuka melebihi 60 kilogram (kg), Shastivena untuk kategori perempuan bawah 17 tahun (55kg-65kg) serta Leenasree (30kg-40kg), Kavithira (45kg-55kg), Darnisha (55kg-65kg), dan Ranishaa (melebihi 70kg) dalam kategori perempuan bawah 15 tahun.
Dr Suraess berkata tuan rumah Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) masing-masing menamatkan kejohanan di tempat kedua dan ketiga. Kejohanan itu turut disertai wakil dari India dan Arab Saudi.
“Kami mencipta sejarah dengan memenangi gelaran juara keseluruhan. Enam atlet kami yang pernah memenangi pingat di SUKMA Sarawak pada Ogos lepas turut mengambil bahagian.
“Majlis penutup diserikan dengan kehadiran Duta Besar Malaysia ke Qatar Mohammad Faizal Razali yang turut menyampaikan trofi juara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
-- BERNAMA