AM

NOGHORI ARTS SCHOOL LAKAR SEJARAH TERSENDIRI DI PRAGUE

28/12/2024 08:20 PM

Oleh Siti Fauziah Hasan

SEREMBAN, 28 Dis (Bernama) -- Noghori Arts School Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Ampuan Najihah di sini melakar sejarah tersendiri selepas merangkul juara kategori Nyanyian Duo dan johan keseluruhan kategori Music Band di The 43rd International Folklore and Music Competition Prague 2024 di Republik Czech baru-baru ini.

Dengan vokal yang harmoni dan ekspresi mengagumkan menerusi lagu Mentera Semerah Padi, dua pelajar berusia 13 tahun Jeszel Iskandar Mohd Azhar dan Rayyen Fitri Syafiyudin berjaya menambat hati panel juri antarabangsa sekali gus membawa pulang gelaran juara kategori ‘Nyanyian Duo Junior 1’.

Bagi kategori Music Band pula, kumpulan dikenali The Jang’s yang terdiri lima pelajar SMK Tunku Ampuan Najihah dan masing-masing seorang dari SMK Dato Haji Mohd Redza, SMK Dato Abdul Samad dan Sekolah Dato Abdul Razak berusia 13 hingga 16 tahun itu berjaya menewaskan 40 pasukan dari seluruh dunia melalui lagu ‘Medley Gema Tradisi’.

Guru Muzik SMK Tengku Ampuan Najihah Muhamad Hazrin Ishak berkata beliau tidak menjangkakan kemenangan berikutan ini kali pertama mereka menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa dan membawa nama Malaysia.

“Kita buat persediaan kira-kira lebih sebulan untuk pertandingan ini … pada Ogos kita menang pertandingan peringkat kebangsaan di sini jadi Kementerian Pendidikan (KPM) menawarkan untuk membawa ke pertandingan ini.

“Kita semua memang sangat teruja kerana menang sebab ramai pasukan hebat menyertainya, memang rasa berbesar hati mewakili negara ke persada dunia, kita baharu sahaja tubuhkan pasukan The Jang’s di bawah Noghori Arts School ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata kejayaan itu juga pencapaian terbesar Noghori Arts School dan Negeri Sembilan sekali gus membuktikan bakat seni tanah air mampu bersaing di peringkat antarabangsa selain sebagai pemangkin untuk kumpulan itu terus maju.

“Kejayaan ini hasil kerja keras, dedikasi, dan latihan intensif pelajar selain bantuan daripada pelbagai pihak terutama kerajaan Negeri Sembilan. Kemenangan ini pastinya menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus cemerlang dalam bidang seni dan budaya,” katanya.

Beliau berkata pertandingan yang diadakan dari 11 hingga 21 Dis lepas di Radiopalac, Prague, Republik Czech dan selain pasukan muzik dari sekolah di Negeri Sembilan, pertandingan tersebut turut disertai beberapa sekolah dari negeri yang berlainan menerusi kategori lain.

Pengetua SMK Tunku Ampuan Najihah Nor Hayati Abdul Rahman turut menzahirkan penghargaan dan rasa bangga atas kejayaan pasukan itu mengharumkan nama negara sekali gus berharap lebih banyak penyertaan seperti itu pada masa hadapan.

“Alhamdulillah kita berjaya ke peringkat antarabangsa dan bawa kemenangan, terima kasih kepada semua pelajar dan guru yang melatih mereka, lagi pula Nogori Arts School baharu ‘setahun jagung’ ditubuhkan, hasrat saya supaya untuk menghantar penyertaan dalam semua bidang termasuk teater, seni tari dan seni visual di arena antarabangsa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan