DUNIA

INSIDEN JEJU AIR: TIADA PENGESAHAN PENGLIBATAN RAKYAT MALAYSIA SETAKAT INI - WISMA PUTRA

29/12/2024 12:14 PM

PUTRAJAYA, 29 Dis (Bernama) -- Kedutaan Malaysia di Seoul sedang giat mengumpul maklumat daripada sumber rasmi dan memantau situasi dengan teliti selepas sebuah pesawat penumpang Korea Selatan yang membawa 181 orang terhempas di lapangan terbang di barat daya negara itu pada Ahad.  

“Setakat ini, tiada pengesahan mengenai penglibatan rakyat Malaysia dalam insiden berkenaan,” menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri, yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra. 

Agensi Berita Yonhap melaporkan bahawa kejadian berlaku pada 9.07 pagi ketika pesawat Jeju Air tergelincir dari landasan apabila cuba mendarat hingga melanggar pagar di Lapangan Terbang Antarabangsa Musan di daerah Muan, kira-kira 288 kilometer di barat daya Seoul.  

Setakat ini,  jumlah kematian telah meningkat kepada 62 orang.  

“Ingatan dan doa kami bersama keluarga mangsa dan orang tersayang dalam waktu sukar ini,” menurut kementerian itu.  

Wisma Putra mengingatkan rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan atau maklumat untuk menghubungi Kedutaan Malaysia di Seoul.  

Untuk bantuan atau maklumat lanjut, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan di alamat 129, Dokseodang-ro, Hannam-dong, Yongsan-gu, Seoul 04419, Korea Selatan, telefon: +82-2-2077 8600/ +82-10-8974-8699 atau emel: mwseoul@kln.gov.my.  

-- BERNAMA  

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan