KUCHING, 29 Dis (Bernama) -- Masalah banjir bermusim yang dihadapi bandar Spaoh di Betong kira-kira 250kilometer perjalanan darat dari sini, dan sekitar tebingan sungai kawasan berkenaan, telah ditangani dengan pembinaan tiga pintu kawalan air pasang surut di Sungai Spaoh, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan susulan lawatan beliau ke kawasan tebingan berkenaan semalam, Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Saban itu berkata beliau puas hati dengan langkah-langkah yang diambil bagi menangani isu tersebut.
“Setakat ini, bagus... projek itu nampaknya melaksanakan tugasnya dengan baik dalam menghalang air sungai daripada masuk dan membanjiri kawasan berkenaan. Pada masa lalu setiap kali hujan lebat dan air Sungai Spaoh melimpah, ia akan membawa kepada masalah banjir di kawasan berkenaan.
"Kita juga sedang mengkaji projek penambahbaikan lain termasuk pembinan laluan pejalan kaki dan gazebo," katanya dalam kenyataan hari ini.
Timbalan Premier Sarawak berkata projek Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) bernilai RM500,000 itu telah siap lebih awal daripada tarikh ditetapkan pada Mei 2025.
Sementara itu Uggah berkata beliau gembira mengetahui bahawa Agrobank sedang membangunkan kemudahannya di pasar baharu Spaoh.
"Saya telah meminta kemudahan ini, bulan depan ia akan dibangunkan, untuk memberikan manfaat tambahan penduduk di sini," katanya.
-- BERNAMA