KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mahu venue pertandingan berpusat dipilih di sekitar Kuching apabila Sarawak menjadi tuan rumah bersama Sukan SEA 2027.
Setiausaha Agung MOM Datuk Mohd Nazifuddin Najib berkata pihaknya tidak mahu venue pertandingan berselerak seperti Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang dianjurkan di sembilan bahagian di negeri itu, Ogos lepas.
“Sarawak ada minta untuk anjurkan majlis perasmian Sukan SEA dan beberapa sukan seperti terjun, tetapi kita nak di lokasi yang sama kerana susah untuk negara-negara yang lain (jika di banyak kawasan).
“Apa yang Kuching boleh anjurkan, kita akan utamakan. Ada juga sukan seperti pelayaran dan berbasikal trek yang mempunyai pilihan venue terhad, jadi kita akan bincang secara lebih lanjut apabila Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia (MASOC) diwujudkan nanti,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata MASOC dijangka dibentuk selewat-lewatnya pertengahan 2025 bagi memastikan Malaysia bersedia mengambil alih kepimpinan Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) sejurus Sukan SEA Thailand dari 9-20 Dis depan berakhir.
Mohd Nazifuddin berkata MOM juga meminta persatuan sukan kebangsaan (NSA) mengemukakan kertas kerja berkaitan perancangan Sukan SEA Thailand dan Malaysia bagi mengenal pasti senarai sukan dan acara tambahan yang bakal dianjurkan pada temasya dwitahunan itu.
“Dari situ, baru kita boleh buat keputusan sama ada mahu menganjurkan sukan itu atau tidak. Selain itu, jika perasmian diadakan di Sarawak, kita mahu penutup diadakan di Kuala Lumpur,” katanya.
Selain Sarawak, turut menyatakan minat menjadi penganjur bersama Sukan SEA adalah Pulau Pinang sebagai venue snuker serta billiard manakala Johor, tuan rumah bola sepak.
Mengikut Peraturan dan Piagam SEAGF, penganjur dibenarkan untuk menganjurkan sukan tambahan selain sukan wajib seperti akuatik dan olahraga dengan syarat penyertaan minimum empat negara.
Senarai akhir sukan dan acara yang dipertandingkan perlu dimaklumkan kepada negara bertanding sekurang-kurangnya 15 bulan sebelum Sukan SEA bermula.
Tarikh penganjuran Sukan SEA 2027 belum diputuskan.
-- BERNAMA