AM

MAIM KENAL PASTI EMPAT CABARAN UTAMA UNTUK TAMBAH, URUS TANAH WAKAF

30/12/2024 01:01 PM

MELAKA, 30 Dis (Bernama) -- Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) mengenal pasti empat cabaran utama untuk menambah dan menguruskan tanah wakaf di negeri itu, kata Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.

Beliau berkata cabaran pertama membabitkan isu perundangan walaupun Melaka mempunyai kanun wakaf khusus, iaitu Enakmen Wakaf (Negeri Melaka) 2005.

Rahmad berkata terdapat beberapa cabaran dalam menguatkuasakan kandungan bidang kuasa diperuntukkan khususnya dalam perihal mendaftarkan sesuatu wakaf yang wujud tanpa dokumentasi selain cabaran dalam bentuk percukaian, pembangunan tanah dan penguatkuasaan.

“Cabaran kedua pula membabitkan pendanaan … MAIM tidak mempunyai dana khusus untuk menjalankan projek pembangunan bersifat komersial disebabkan tanah wakaf tidak boleh dipindah milik bagi mendapatkan pembiayaan end financing selain tidak boleh dicagar bagi mendapatkan pembiayaan bridging financing.

“Pada ketika ini, MAIM terpaksa membangunkan tanah-tanah ini melalui kutipan wakaf tunai yang masih rendah dan tidak mencukupi,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dikemukakan Siti Faizah Abdul Azis (BN-Sungai Rambai) mengenai cabaran utama yang dihadapi dalam usaha penambahan dan pengurusan tanah wakaf di Melaka.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata cabaran ketiga membabitkan kesedaran pemain industri berkaitan pembangunan tanah wakaf begitu rendah dengan pembudayaan wakaf sebagai sebahagian gaya hidup masih jauh untuk dicapai.

Beliau berkata ia disebabkan wakaf masih dilihat dalam konteks keagamaan berbanding nilai komersial dan pembangunan wakaf perlu dilihat sebagai pembangunan aset umat yang diuruskan melalui MAIM sebagai pemegang amanah tunggal bagi Melaka.

“Cabaran terakhir ialah berkaitan pengurusan wakaf itu sendiri. Hal ini disebabkan kekurangan kepakaran berkaitan pengurusan tanah, kekurangan anggota kerja untuk melaksanakan pemantauan, pengurusan, penguatkuasaan serta perancangan pembangunan.

“Selain itu, kurang akses kepada pihak luar untuk membantu disebabkan urusan wakaf lebih dilihat bersifat menjaga urusan agama berbanding bersifat komersial,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan