AM

PBAPP LAKSANA PROTOKOL CUACA KERING PASTIKAN BEKALAN AIR MENCUKUPI

30/12/2024 03:46 PM

GEORGE TOWN, 30 Dis (Bernama) -- Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah melaksanakan protokol cuaca kering sebagai persediaan untuk penggunaan air musim perayaan yang tinggi pada suku pertama 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk K. Pathmanathan berkata protokol itu telah dilaksanakan untuk memastikan bekalan air mencukupi di Pulau Pinang sejak pertengahan November lepas.

"Dalam masa sama, PBAPP merayu pengguna untuk menggunakan air dengan berhemat pada suku pertama 2025  dan mereka disaran mengamalkan penjimatan air sehingga hujan lebih konsisten dijangka turun pada April atau Mei tahun depan.

"Kami menyeru semua pengguna di Pulau Pinang, terutama mereka yang tinggal di di kawasan Air Itam, Farlim, Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjong Bungah dan Tanjong Tokong agar menggunakan air secara berhemat, penjimatan air dapat memastikan rizab empangan bertahan lebih lama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau berkata kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang di bahagian pulau masih belum pulih sepenuhnya walaupun mencatatkan taburan hujan ketara sejak empat bulan lepas.

Pathmanathan berkata kapasiti efektif Empangan Air Itam meningkat daripada 30.8 peratus pada Ogos lepas kepada 76.7 peratus pada penghujung Disember, sementara Empangan Teluk Bahang pula meningkat daripada 25.8 peratus kepada 61.7 peratus dalam tempoh yang sama.

Namun begitu, kapasiti itu belum mencukupi untuk menampung penggunaan air yang tinggi, khususnya semasa musim perayaan pada suku pertama 2025, tambah beliau.

Dalam tempoh 1 Sept hingga 29 Dis lepas, kawasan tadahan air di sekitar empangan hanya menerima 979 milimeter (mm) hujan bagi Empangan Air Itam dan 944.5 mm bagi Empangan Teluk Bahang.

Walaupun angka itu menunjukkan peningkatan, ia masih tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan harian purata sebanyak 883 juta liter sehari yang direkodkan pada November.

''Kedua-dua empangan ini direka untuk diisi semula oleh hujan di kawasan tadahan masing-masing. Namun, musim kemarau yang berpanjangan akibat fenomena El Nino tahun ini telah mengurangkan kapasiti efektif empangan dengan ketara," katanya.

Beliau berkata status Empangan Mengkuang yang diperbesarkan di Bukit Mertajam berada pada tahap memberangsangkan dengan kapasiti efektif mencapai 91.6 peratus pada 29 Dis dan air dari empangan ini mampu menyokong bekalan air untuk kawasan Seberang Perai dan Daerah Barat Daya Pulau Pinang jika diperlukan.

PBAPP juga menjangkakan fenomena cuaca ENSO neutral atau La Nina ringan pada awal 2025 yang boleh membawa corak taburan hujan lebih konsisten, tambah beliau.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan