KOTA BELUD, 30 Dis (Bernama) -- Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyalurkan peruntukan RM3 juta di Sabah tahun depan bagi bagi meningkatkan mutu pendidikan untuk pelajar yang kurang bernasib baik terutamanya mereka yang berada di kawasan luar bandar.
YBR dalam kenyataan memberitahu bantuan itu juga adalah usaha pihaknya membantu usaha menoktahkan kemiskinan melalui pendidikan, dan Sabah merupakan negeri yang mempunyai kadar kemiskinan tertinggi di Malaysia.
Bantuan itu antara lain melibatkan kumpulan individu dari kalangan asnaf dan B40 di kawasan Kota Belud, Kota Marudu serta Kudat, dengan lebih 65,000 pelajar dijangka menerima manfaat daripada inisiatif Program Pembangunan Pendidikan Sabah Tahun 2025 itu.
“YBR akan terus memberi sokongan bagi meningkatkan pembangunan modal insan di Sabah khususnya dalam kalangan pelajar melalui bidang pendidikan. Sepanjang tahun 2024, YBR telah memperuntukan RM20.4 juta bagi program pembangunan pendidikan dan pembangunan masyarakat di seluruh negara,” menurut kenyataan itu.
Program penyampaian cek berkaitan yang dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, dan Pengerusi Yayasan Bank Rakyat Datuk Philip Benedict Lasimbang berlangsung di sini hari ini.
Ia diadakan pada Program Santuni MADANI Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersama Komuniti Kota Belud sempena Majlis Rumah Terbuka Krismas Kadamaian 2024.
-- BERNAMA