AM

UNDANG-UNDANG PELESENAN MALAYSIA UNTUK WUJUDKAN PERSEKITARAN DALAM TALIAN LEBIH SELAMAT - PEGUAM

31/12/2024 12:29 PM

Oleh V.Sankara

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Kewajipan pelesenan bagi platform media sosial yang akan berkuat kuasa di Malaysia mulai esok bertujuan mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat, terutama dalam menangani peningkatan kebimbangan terhadap kandungan digital berbahaya dan ancaman siber.

Bekas pengerusi Badan Peguam Selangor Kokila Vaani Vadiveloo berkata kerangka kawal selia itu dapat membendung peningkatan tingkah laku berbahaya dalam talian seperti penyebaran video dan imej palsu, buli siber dan fitnah.

“Undang-undang pelesenan ini boleh membantu membendung peningkatan penyebaran video dan imej palsu dalam talian, kerana kawal selia kendiri terbukti tidak mencukupi,” katanya kepada Bernama.

Kokila Vaani berkata aktiviti berbahaya dalam talian selalunya berpunca daripada ketidakupayaan pengguna untuk mengawal emosi dan tingkah laku mereka.

“Keperluan pelesenan baharu ini memberikan kuasa kepada pengawal selia untuk mengawasi platform media sosial dengan lebih baik, memastikan mereka mematuhi undang-undang dan menangani kebimbangan yang semakin meningkat terhadap ancaman siber,” katanya.

Peguam itu berkata di bawah pindaan Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988, tanggungjawab terhadap kandungan berbahaya dalam talian diletakkan pada platform terbabit, dan bukannya kepada pengguna individu.

“Mulai 1 Jan 2025, platform-platform ini akan bertanggungjawab secara langsung untuk menguruskan kandungan yang menyalahi undang-undang dan berbahaya. Kerangka kawal selia ini memastikan platform berkenaan lebih bertanggungjawab dan berintegriti dalam menjalankan operasi perniagaan mereka di Malaysia,” katanya.

Beliau juga berkata peraturan pelesenan itu mewajibkan tanggungjawab perlindungan data yang lebih ketat untuk platform, sekali gus meningkatkan privasi pengguna.

“Penyedia media sosial kini diberi tanggungjawab untuk melindungi data dan privasi pengguna, yang merupakan satu perkembangan positif,” katanya.

Peguam itu bagaimanapun menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan kesannya terhadap kebebasan bersuara.

Sementara itu pempengaruh media sosial dan penulis blog Nithyaa RV berkata sistem pelesenan baharu itu bertujuan untuk meningkatkan keselamatan dalam talian dan memerangi jenayah siber, termasuk penipuan dan buli siber.

Bagaimanapun beliau berkata semasa pelesenan ini mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat, beliau turut menyentuh kebimbangan mengenai kemungkinan pengawasan yang berlebihan dan implikasinya terhadap kebebasan bersuara.

Kerajaan telah mengumumkan lapan platform media sosial dan pemesejan utama yang perlu mendapatkan lesen di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 mulai esok.

Lapan platform itu ialah WhatsApp, Facebook, Instagram, X, YouTube, Telegram, WeChat, dan TikTok.

Dengan peraturan baharu ini, semua platform media sosial dan pemesejan yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon untuk Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta 588.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan