JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS BERKAS LELAKI UGUT DAN ANCAM BABY SHIMA DI MEDIA SOSIAL

01/01/2025 10:35 AM

SIBU, 1 Jan (Bernama) -- Seorang lelaki yang mengeluarkan hantaran berbau ugutan dan mengancam keselamatan penyanyi popular Nor Ashima Ramli atau Baby Shima pada 30 Dis (Khamis) di platform media sosial, telah diberkas polis di Kota Sentosa Kuching malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata lelaki berusia 35 tahun dan bekerja sebagai pemandu lori itu ditahan pada jam 9.15 malam dan telefon pintar miliknya dirampas.

Suspek telah dibawa ke Sibu untuk proses permohonan reman pada hari ini.

Zulkipli berkata pada lebih kurang 11.31 malam Isnin lepas, pihak polis telah menerima satu laporan daripada penyanyi yang terkenal dengan lagu ‘Bujang Sarawak’ itu setelah terbaca komen dibuat suspek tidak dikenali di platform media sosial yang berbau ugutan dan mengancam keselamatannya.

Baby Shima berada di Sibu ketika itu atas urusan kerja.

“Siasatan telah dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan / Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu beliau meminta orang ramai agar lebih bertanggungjawab ketika membuat sebarang komen atau memuat naik apa-apa kenyataan di platform media sosial, supaya tidak melampaui batas dan menyalahi undang-undang.

Baby Shima membuat laporan tersebut di Balai Polis Sibu dengan ditemani Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

Baby Shima merupakan antara artis jemputan yang membuat persembahan pentas pada acara sambutan ambang tahun baru 2025 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di Kompleks Sukan Komuniti Azman Hashim, Sibu Jaya  malam tadi.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan