JENAYAH & MAHKAMAH

SEPASANG KEKASIH DITAHAN BERSAMA DADAH RM2.41 JUTA

01/01/2025 03:29 PM

JOHOR BAHRU, 1 Jan (Bernama) -- Polis menahan sepasang kekasih dan merampas dadah pelbagai jenis bernilai RM2.41 juta hasil pemeriksaan ke atas sebuah kereta di tepi jalan di sekitar Mutiara Rini, Iskandar Puteri, Sabtu lepas. 

Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata lelaki berumur 33 tahun dan wanita 31 tahun warga tempatan itu ditahan dalam operasi khas antara 12.30 tengah malam hingga 4.30 pagi. 

Beliau berkata kedua-duanya ditahan ketika berada di dalam sebuah kereta Toyota Vios yang digunakan untuk menyimpan dan mengedar dadah berkenaan.

"Hasil pemeriksaan di but kereta, polis menjumpai lebih 14 kilogram ekstasi, 24.58 gram (g) ketamin, 2.75g syabu dan 19.48g pil ekstasi dengan kesemuanya bernilai RM2.41 juta.

"Dipercayai kesemua dadah ini dibeli secara pukal sebelum dibungkus semula dan dipasarkan untuk pasaran tempatan. Bagaimanapun, kita masih menyiasat dari mana bekalan dadah diperoleh," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Kumar berkata pelbagai barang kemas bernilai RM15,573 dan mata wang Thailand berjumlah 2,170 Bath (RM280) turut disita dalam operasi itu.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati sindiket pengedaran dadah itu aktif beroperasi sejak Oktober tahun lepas dengan menjual sepeket dadah antara RM200 hingga RM300.

"Sindiket ini menggunakan kereta biasa untuk menyimpan dadah berbanding kereta mewah untuk mengaburi pihak berkuasa," katanya sambil menambah hasil saringan urin mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis ketamin dan benzodiapines selain mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

Beliau berkata kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula Sabtu lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan