AM

BAYARAN MASUK MUZIUM TENTERA DARAT PORT DICKSON MULAI HARI INI

01/01/2025 07:23 PM

SEREMBAN, 1 Jan (Bernama) -- Bermula hari ini, Muzium Tentera Darat Port Dickson mengenakan bayaran tiket masuk kepada pengunjung setelah beroperasi secara percuma sejak 19 tahun lepas.

Menurut notis yang dikeluarkan oleh pengurusan Muzium Tentera Darat di laman sosial Facebook, bayaran masuk bagi dewasa warganegara adalah RM2 manakala kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun, Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas dikenakan bayaran RM1.

Pengunjung yang berumur bawah enam tahun boleh masuk secara percuma.

Notis itu turut memaklumkan bahawa bagi bukan warganegara, bayaran dikenakan sebanyak RM5 bagi dewasa manakala kanak-kanak tujuh hingga 12 tahun, OKU dan warga emas dikenakan bayaran RM2, sementara mereka yang berumur bawah enam tahun adalah percuma.

Muzium yang mula beroperasi secara rasmi pada 28 Jun 2005 ini dibuka dari hari Rabu hingga Ahad serta cuti umum bermula dari pukul 10 pagi hingga 5 petang dan waktu  terakhir pembelian tiket adalah pada pukul 4.30 petang.

Terdahulu, Bernama melaporkan  kerajaan negeri berpendapat bayaran berpatutan perlu dikenakan untuk kemasukan ke Pusat Ikan Hiasan Port Dickson dan Muzium Tentera Darat bagi menampung kos penyelenggaraan di pusat pelancongan berkenaan.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata kedua-dua lokasi yang menjadi antara tarikan utama di Port Dickson itu masing-masing telah mencatatkan kunjungan sebanyak 154,074 dan 201,113 individu pada tahun 2024.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Perikanan Negeri Sembilan, Doreen Wee Siew Leen, ketika dihubungi Bernama berkata Pusat Ikan Hiasan Port Dickson masih beroperasi secara percuma kepada pengunjung setakat hari ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan