MELAKA, 2 Jan (Bernama) -- Kesemua beca di Melaka akan menjalani transformasi digital bertujuan memberi identiti khas kepada perkhidmatan berkenaan yang merupakan antara ikon pelancongan negeri, selain menambah baik pengurusan dan perkhidmatan.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata menerusi inisiatif pendigitalan itu, setiap beca yang berlesen akan diberi nombor dan kod QR bagi menjamin keselamatan penumpang dan pengayuh beca.
Beliau berkata selain itu, langkah berkenaan bagi memudahkan sebarang aduan atau cadangan dilakukan penumpang atau pelancong agar penambahbaikan dapat dilakukan dari semasa ke semasa.
"Saya yakin dengan adanya sistem baharu ini, kerajaan negeri dapat mengawal kebanjiran beca-beca haram atau lebih dikenali 'Ali Baba' yang lazimnya muncul semasa cuti panjang.
"Kesemua inisiatif tersebut dilaksanakan di bawah Bajet 2025 dengan mewartakan Undang-Undang Kecil (UUK) kepada Pengayuh Beca melalui Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang merupakan antara pihak berkuasa tempatan pertama di Malaysia melaksanakan usaha ini," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Apresiasi Pengayuh Beca Negeri Melaka 2025 yang turut dihadiri Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.
Ab Rauf berkata selain itu, beberapa peraturan baharu turut diperkenalkan termasuk pembahagian zon atau pit stop bagi menempatkan kesemua beca berlesen pada satu-satu masa agar lebih sistematik.
Beliau berkata terdapat lima zon ditetapkan bagi operasi beca iaitu di Dataran Sungai Melaka, Bangunan Stadthuys, Melaka Historical Vehicle Park, Medan Samudera dan Menara Taming Sari.
"Kesemua beca berlesen akan ditempatkan di zon terlibat secara bergilir setiap tiga bulan dan peraturan ditetapkan ini memudahkan pihak berkuasa mengenal pasti pengayuh beca mengikut pusat hentian yang ditetapkan," katanya.
Terdahulu pada majlis berkenaan, sebanyak 260 pengayuh beca menerima Lesen Pengayuh Beca Negeri Melaka bagi 2025 selepas melalui proses temu duga dan saringan kesihatan.
-- BERNAMA