AM

KTMB SEDIA DUA PERKHIDMATAN TREN ETS TAMBAHAN SEMPENA TAHUN BAHARU CINA

02/01/2025 03:03 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menambah dua perkhidmatan Elektrik Train Service (ETS) bagi perjalanan pergi dan balik antara KL Sentral dan Padang Besar sempena Tahun Baharu Cina.

KTMB dalam kenyataan hari ini memaklumkan tiket untuk tren tambahan ini akan dijual mulai esok, 3 Jan, pada pukul 10 pagi, bagi perjalanan yang bermula 17 Jan hingga 16 Feb.

“Tren tambahan ini akan beroperasi selama 19 hari dan menawarkan 630 tempat duduk setiap hari termasuk kemudahan kelas perniagaan dengan jumlah keseluruhan 11,970 tempat duduk.

“Tren akan berlepas dari KL Sentral pada 5.00 petang dan tiba di Padang Besar pada pukul 10.20 malam, manakala dari Padang Besar, tren berlepas pada pukul 11.05 pagi dan tiba di KL Sentral pada 4.30 petang,” katanya.

KTMB memaklumkan  inisiatif itu sebagai memenuhi permintaan penumpang yang tinggi serta membantu mengurangkan kesesakan trafik yang sering berlaku setiap kali musim perayaan.

Tiket boleh dibeli melalui aplikasi KTM Mobile (KITS) atau di laman sesawang KTMB www.ktmb.com.my bagi pembelian tanpa tunai serta menghubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-9779 1200 atau layari media sosial rasmi KTMB untuk pertanyaan lanjut.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan