KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Korea Selatan yang akan menjadi tuan rumah Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) tahun ini untuk kali pertama dalam tempoh 20 tahun, akan memfokuskan kepada inovasi, pendigitalan dan kemampanan.
Pengerusi Mesyuarat Pegawai Kanan APEC 2025 Yoon Seongmee berkata, selepas mempertimbangkan deklarasi pemimpin di Lima, Peru pada November tahun lepas, negara berkenaan akan mengetengahkan perbincangan itu ke Korea Selatan.
Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC kali terakhir diadakan di Busan pada 2005, yang menyaksikan antara hasil utamanya adalah Pelan Hala Tuju Busan untuk meningkatkan keutamaan ekonomi anggota dalam menggalakkan perdagangan bebas.
"Seperti yang dapat anda lihat, dua dekad lepas, APEC tertumpu terutamanya kepada perdagangan, liberalisasi pelaburan dan integrasi serantau. Kami masih meneruskan matlamat ini, tetapi agenda APEC telah berkembang.
"Cabaran baharu seperti perubahan iklim dan pembangunan teknologi, memerlukan tindak balas kolektif daripada ekonomi APEC," katanya dalam kenyataan hari ini.
Yoon berkata, sehubungan itu Visi Putrajaya 2040 telah memperluas fokus APEC di luar daripada perdagangan dan pelaburan tradisional untuk merangkumi inovasi, pendigitalan dan kemampanan, termasuk pertumbuhan inklusif sebagai pemacu utama pengembangan ekonomi.
Sehubungan itu, negara tuan rumah telah memilih tema dan keutamaan APEC 2025 kepada “Building a Sustainable Tomorrow: Connect, Innovate, Prosper” (Membina Masa Depan Mampan: Berhubung, Berinovasi, Maju).
“Tema ‘Membina Masa Depan Mampan’ ini mencerminkan aspirasi dalam merealisasikan rantau Asia Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan tenteram seperti yang digariskan dalam Visi Putrajaya.
“Kita mengakui bahawa masa depan sedemikian perlu 'mampan'. (Oleh itu) Korea Selatan akan berusaha untuk merealisasikan visi ini dengan meneruskan tiga keutamaan dasar penting, iaitu ‘Connect, Innovate, Prosper,’" kata Yoon.
Yoon berkata, “Connect,” berhasrat untuk memperkukuh pertukaran fizikal, institusi, dan rakyat dengan rakyat di rantau ini bagi Asia Pasifik yang terbuka dan berdaya tahan.
“Kesalinghubungan institusi akan menggalakkan rantau yang lebih cekap dan inovatif, dan dalam hal ini, usaha akan dilaksanakan tahun depan untuk membangunkan Agenda APEC bagi Pembaharuan Struktural baharu.
"Pada 2025, kami akan menggalakkan lagi pertukaran rakyat dengan rakyat, terutamanya dalam bidang sains untuk integrasi yang lebih mendalam dalam kalangan rakyat," katanya.
Sementara itu, “Innovation” akan menumpukan kepada inovasi digital.
“Walaupun perbincangan mengenai tadbir urus kecerdasan buatan (AI) telah dimulakan membabitkan pelbagai platform global seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kami percaya sudah tiba masanya untuk membincangkan AI dari perspektif APEC.
"Dalam hal ini, Korea Selatan bercadang untuk mengadakan perbincangan mengenai kaedah untuk ekonomi APEC bekerjasama bagi membolehkan penggunaan AI yang selamat dan inklusif untuk manfaat rakyat dan rantau ini," katanya.
Yoon berkata “Prosper” pula memberikan maklum balas yang berkesan terhadap cabaran global seperti isu tenaga, perubahan iklim, kesihatan, sekuriti makanan dan perubahan demografi.
"Menerusi keutamaan ini, Korea Selatan akan menekankan perbincangan mengenai penurunan kadar kelahiran dan penduduk yang semakin menua. Bagi sebahagian ekonomi, ia telah menjadi isu penting manakala bagi sebahagian lagi akan menjadi isu yang bakal dihadapi pada masa hadapan.
"Bagaimanapun, Korea Selatan yakin sudah tiba masanya untuk memulakan perbincangan mengenai trend ini, terutamanya kerana ia memberi impak kepada tenaga kerja, jurang sosial dan pada akhirnya kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan," katanya.
-- BERNAMA