EKONOMI

KSI UNJUR EKONOMI MALAYSIA TUMBUH 4.9 PERATUS PADA 2025

02/01/2025 04:31 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Ekonomi Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan sederhana sekitar 4.9 peratus pada 2025, dengan mengambil kira kesan dasar domestik dan cabaran luar, kata Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik (KSI).

Kumpulan pemikir bebas itu berkata ekonomi global berdepan ketidaktentuan susulan kemungkinan perubahan dasar di bawah pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang dilantik kali kedua.

KSI berkata Malaysia mendapat manfaat daripada dasar perlindungan perdagangan Trump semasa pentadbirannya sebelum ini tetapi sebagai sebuah ekonomi terbuka, ancaman tarif baharu akan menjejaskan ekonomi tempatan secara langsung dan tidak langsung. 

"Bagaimanapun, permintaan dalam negeri dijangka kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan. Penggunaan swasta akan disokong oleh pasaran buruh yang stabil, kenaikan 7 hingga 15 peratus dalam gaji perkhidmatan awam, semakan kepada gaji minimum, dan pengeluaran daripada Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Pelaburan swasta akan mendapat manfaat daripada kesan limpahan pelaburan diluluskan dan persekitaran pembiayaan yang menggalakkan," kata KSI dalam ‘Laporan Ekonomi Akhir Tahun 2024' yang dikeluarkan hari ini.

Bagi 2024, KSI mengunjurkan pertumbuhan KDNK pada 5.2 peratus.

Institut itu berkata pelaburan awam dijangka menyederhana tahun ini memandangkan peruntukan belanjawan pembangunan yang tidak berubah berbanding 2024.

Projek infrastruktur yang sedang dibangunkan dan pelancaran program GEAR-UP, mencecah RM25 bilion pada 2025, selain syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang komited untuk memperuntukkan pelaburan langsung domestik (DDI) berjumlah RM120 bilion sepanjang lima tahun akan datang, dijangka terus menyokong aktiviti pelaburan kerajaan.

Penggunaan awam dijangka berkembang lebih pantas, mencerminkan peningkatan perbelanjaan mengurus daripada Belanjawan 2025, katanya.

Mengenai pasaran buruh, kadar pengangguran diunjur mencecah 3.2 peratus menjelang akhir 2025, disokong oleh penciptaan peluang pekerjaan didorong oleh permintaan domestik yang kukuh dan pelaburan berterusan.

Ekonomi gig, mencakupi 18.5 peratus daripada tenaga kerja iaitu kira-kira 3.1 juta orang pada Oktober 2024, dijangka meneruskan pertumbuhannya, didorong oleh kemajuan dalam pendigitalan dan perubahan keutamaan tenaga kerja.

Dari segi monetari, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) tidak berubah pada 3.00 peratus sepanjang 2025.

Tidak seperti bursa lain, BNM berdepan kekangan untuk mengurangkan kadar faedahnya berikutan tekanan harga domestik, seperti kenaikan gaji minimum, rasionalisasi subsidi bahan api RON95, dan peluasan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Dengan prospek OPR yang stabil pada 2025, kadar gadai janji dijangka kekal kukuh yang seterusnya memastikan pasaran hartanah kekal positif.

Pasaran hartanah kediaman mencatatkan prestasi kukuh pada separuh pertama 2024, dengan jumlah dan nilai transaksi hartanah kediaman meningkat masing-masing sebanyak 6.1 peratus dan 10.4 peratus tahun ke tahun.

Situasi lambakan unit tidak terjual semakin bertambah baik berkurangan kepada 21,968 pada September 2024, daripada 25,816 pada akhir 2023.

Sementara itu, KSI mengunjurkan FBM KLCI bergerak antara antara paras 1,650 dan 1,750 mata, disokong antara lainnya oleh pemulihan ekonomi domestik yang stabil, harga minyak kukuh, pertumbuhan sektor teknologi dan kewangan serta dasar kerajaan yang positif.

Selain itu pendapatan korporat yang positif, kenaikan nilai ringgit dan peningkatan pelaburan langsung (FDI) dan aliran masuk portfolio asing turut menyokong pergerakan indeks utama itu.

Menurutnya, pemacu utama bagi prestasi pasaran dan saham pada 2025 dijangka termasuk perbelanjaan penggunaan yang positif, pecutan dalam perbelanjaan infrastruktur, pembaharuan struktur bagi kemampanan fiskal, inisiatif ekonomi kerajaan negeri, perindustrian semula dan pertumbuhan dipacu kecerdasan buatan (AI).

Pasaran juga dijangka mendapat rangsangan daripada langkah penggabungan dan pengambilalihan dalam sektor perbankan dan teknologi, serta tawaran awam permulaan (IPO) dalam sektor penjagaan kesihatan, telekomunikasi dan pengguna.

KSI berkata ringgit dijangka meningkat jika harga minyak global kekal tinggi dan Malaysia mendapat manfaat daripada peningkatan pelaburan asing dan permintaan perdagangan yang teguh.

"Ringgit dijangka mengukuh kepada sekitar RM3.90 hingga RM4.00 berbanding dolar AS," katanya.

Bagaimanapun, kumpulan pemikir itu memberi amaran bahawa tekanan kewangan global, aliran keluar modal, atau kenaikan kadar faedah global boleh melemahkan ringgit, dengan potensi risiko penurunan ke arah RM4.30 atau lebih lagi berbanding dolar AS.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan