AM

ULAMA, ILMUWAN DUNIA SOKONG KONSEP MADANI - ZULKIFLI HASAN

02/01/2025 07:12 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Para ulama tersohor serta ilmuwan dunia menyatakan sokongan dan optimis dengan gagasan MADANI, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Mengulas mengenai tuduhan MADANI ‘jahiliah’ beliau berkata menerusi catatan di platform X hari ini berkata rakyat Malaysia seharusnya memfokuskan kepada perkara yang lebih produktif untuk pembangunan dan pembinaan negara.

“Gagasan Malaysia MADANI sudah diberikan pencerahan sebaiknya dalam 'The Asian Renaissance', 'SCRIPT For a Better Malaysia' dan 'Membangun Negara MADANI',” katanya.

Zulkifli berkata semasa ke United Kingdom pada Ogos lepas, beliau menyaksikan pujian dan harapan pimpinan komuniti dan cendekiawan terhadap konsep MADANI oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang digagaskan daripada penglibatan Anwar dalam bidang aktivisme dan intelektualisme, sejak usia belianya.

“Sebenarnya, saya sangat tertarik dengan artikel dalam 'The Japan Times' berjudul ‘The ASEAN's Second Renaissance is Now'.

“Walaupun makalahnya ringkas tetapi Perdana Menteri (Anwar) dengan penuh 'eloquent and elegant' menulis dan mengupas mengenai masa depan dan visi Komuniti ASEAN,” katanya

Mengulas mengenai Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini bertemakan “ASEAN 2025: Keterangkuman dan Kemampanan”, Zulkifli memuji pandangan dan visi Perdana Menteri untuk persidangan berkenaan antaranya memastikan kebangkitan ASEAN membawa hasil nyata yang memajukan keamanan, keadilan dan kemakmuran.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya sangat berbangga kerana kita kini menjadi 'trend setter' atau 'thought leader' untuk memacu dan menerajui ASEAN sebaiknya. Malaysia menjadi rujukan serantau dan dunia.

“Rakyat Malaysia perlu disibukkan dengan perkara yang lebih produktif, membina dan mendamaikan. Kita tidak boleh hilang fokus sekiranya ingin membawa Malaysia ke arah lebih gemilang di persada dunia,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan