JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS TUMPAS KEGIATAN PENGEDARAN, PEMPROSESAN DADAH DALAM HUTAN

02/01/2025 09:41 PM

GEORGE TOWN, 2 Jan (Bernama) -- Polis menumpaskan kegiatan pengedaran dan pemprosesan dadah di hutan dekat Cangkat Bukit Gambir di sini susulan tertangkapnya seorang lelaki tempatan, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata suspek berusia 47 tahun itu ditahan di dalam sebuah tandas dalam hutan tersebut oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang yang melakukan serbuan kira-kira 5 petang, hasil maklumat dan risikan.

Beliau berkata pihaknya merampas sejumlah dadah jenis heroin berserta pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah bernilai RM51,370.

“Dadah tersebut ditemui di dalam sebuah kotak kertas berwarna coklat bertulis ’Luzhou Laojiao Touqu’ anggaran berat 5,351 gram bernilai RM51,370,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Abdul Rozak berkata sebuah motosikal jenis Honda Wave turut disita menjadikan keseluruhan rampasan bernilai RM54,870.

Beliau berkata sindiket itu dipercayai aktif sejak awal Disember 2024 dan dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 26,755 orang.

Suspek katanya positif dadah jenis metamfetamina selain mempunyai 10 rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah.

"Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 8 Jan depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," kata Abdul Rozak.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan