JENAYAH & MAHKAMAH

ATLET PELAYARAN JOHOR MAUT KEMALANGAN

02/01/2025 09:46 PM

KOTA TINGGI, 2 Jan (Bernama) -- Seorang atlet pelayaran Johor maut dalam nahas jalan raya selepas motosikal ditunggang tidak sempat mengelak sebuah kereta yang membuat pusingan U di Jalan Dato Onn, Bandar Penawar di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Yusof Othman berkata Nur Hazurah Md Hazahar, 21, maut di lokasi kejadian manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada 5.40 petang, melibatkan Yamaha Y15ZR dan Perodua Kenari dipandu lelaki tempatan berusia 51 tahun. 

"Kemalangan berlaku apabila kereta berkenaan dari arah Bandar Penawar membuat pusingan U dan mangsa dari arah belakang tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian sisi kanan kereta itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor Mohd Hairi Mad Shah menerusi hantaran di Facebook menzahirkan ucapan takziah atas pemergian atlet itu yang pernah mewakili negeri pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 dan 2024.

Mohd Hairi berkata pihak Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) selaku wakil kerajaan negeri telah menziarahi waris Allahyarhamah dan menghulurkan sumbangan sebanyak RM2,500. 

"Semoga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan