JENAYAH & MAHKAMAH

SPRM TAHAN LELAKI WARGA ASING CUBA SOGOK PEGAWAI POLIS

03/01/2025 07:23 PM

KUALA LUMPUR, 3 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan reman warga asing disyaki cuba memberi rasuah hampir RM4,000 kepada pegawai polis untuk melepaskan seorang rakannya yang ditahan atas kesalahan mencuri.

Suspek lelaki warga Bangladesh berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira 1 tengah hari semalam, ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Kuala Selangor, Selangor.

“Siasatan awal mendapati suspek yang merupakan pekerja kilang di sekitar Lembah Klang telah melakukan kesalahan tersebut di dalam sebuah bilik di Balai Polis Kuala Selangor pada Rabu lepas dan memberikan rasuah kepada seorang pegawai polis,” menurut sumber.

Sumber memaklumkan perintah reman selama tujuh hari hingga 9 Jan ini dikeluarkan Majistret Siti Hajar Ali selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Selangor,  pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan