JENAYAH & MAHKAMAH

SPRM REMAN LELAKI DISYAKI TERLIBAT KES RASUAH PEMERIKSAAN KENDERAAN BERAT DI PUSPAKOM

04/01/2025 12:00 PM

PUTRAJAYA, 4 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes rasuah berkaitan pemeriksaan kenderaan berat di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), di sini pagi ini.

Lelaki itu direman hingga Jumaat ini selepas Majistret Joanne Tan Xin Ying membenarkan permohonan reman yang dikemukakan SPRM di Mahkamah Majistret di sini.

Terdahulu suspek yang berumur 40-an itu tiba di Mahkamah pada kira-kira pukul 10 pagi dengan diiringi beberapa pegawai SPRM.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan suspek ditahan petang semalam hasil kolaborasi strategik antara suruhanjaya itu dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

SPRM berkata lelaki itu diserahkan oleh JPJ kepada SPRM petang semalam dan ditahan selepas dirakam keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Kenyataan itu memberitahu siasatan awal mendapati suspek membuat bayaran berjumlah ratusan ringgit bagi setiap kenderaan yang diperiksa di Puspakom, sebagai balasan bagi meluluskan pemeriksaan berkenaan.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan